AnalisisKolum NusaPenulis NusaSukanTerkiniUtama

Bila Tak Mampu Lawan Di Padang, Bangsa Pula Jadi Senjata?

Nusatimes

Kemenangan G. Pavithran bersama Harimau Malaya sepatutnya menjadi cerita tentang bola sepak. Sebaliknya, ruang komen media sosial sekali lagi membuktikan bahawa bagi sesetengah orang, apabila hujah bola sepak sudah habis, warna kulit dan keturunan pula dijadikan bahan serangan.

Ada satu penyakit yang semakin menjengkelkan dalam bola sepak Asia Tenggara. Ia bukan masalah taktikal. Bukan masalah pengadil. Bukan masalah VAR. Tetapi masalah manusia yang tidak tahu membezakan antara rivalry dengan racism.

Terbaharu, pemain muda negara G. Pavithran menjadi sasaran komen berbaur perkauman selepas muncul wira Malaysia ketika menewaskan Filipina dalam saingan Asean Hyundai Cup.

Pavithran menjaringkan gol kemenangan melalui tandukan hasil hantaran Wan Kuzain Wan Kamal, sekali gus membantu Malaysia mara ke separuh akhir dengan sembilan mata daripada empat perlawanan.

Kita semua sepatutnya bercakap tentang satu perkara sahaja selepas perlawanan itu iaitu bola sepak. Malangnya, sebahagian manusia di media sosial mempunyai agenda lain.

Laporan beberapa media mendapati terdapat komen terhadap Pavithran yang menggunakan istilah seperti ‘Bangladesh’ dan ‘Rohingya’ untuk mengejek rupa serta latar etniknya. Komen-komen seumpama itu dilaporkan kelihatan banyak datang daripada akaun pengguna dari negara seberang iaitu Indonesia.

Ini sudah bukan lagi banter bola sepak. Ini rasisme. Dan kita sepatutnya cukup matang untuk menyebutnya dengan nama sebenar.

Kalau Mahu Kutuk Permainan, Kutuk Permainan

Peminat bola sepak mempunyai hak untuk mengkritik pemain.

Pemain bermain buruk?

Kritik.

Salah hantaran?

Kritik.

Terlepas peluang depan gol?

Kritik.

Tidak cukup pantas?

Kritik.

Itu semua sebahagian daripada bola sepak. Tetapi apabila seseorang menyerang bentuk muka, warna kulit, keturunan atau etnik seorang pemain, perbincangan itu sudah meninggalkan bola sepak. Ia sudah masuk ke kawasan kebencian.

Lebih menyedihkan apabila sasaran serangan itu ialah seorang pemain yang sedang menyarung jersi negaranya. Pavithran tidak turun ke padang sebagai Melayu. Dia tidak turun sebagai India. Dia tidak turun sebagai Cina, Dayak, Kadazan, Sikh atau mana-mana etnik. Dia turun memakai lambang Malaysia di dada.

Itulah identitinya ketika berada di atas padang. Kakaknya sendiri memberikan respons yang mungkin jauh lebih matang daripada ribuan komen media sosial: sokonglah pemain, kritik prestasi mereka jika perlu, tetapi jangan serang mereka kerana bangsa.

Mesejnya mudah, lencana pada dada lebih penting daripada warna kulit. Sukar untuk mencari ayat yang lebih tepat daripada itu.

Kita juga tidak perlu berpura-pura. Persaingan Malaysia dan Indonesia dalam bola sepak memang mempunyai sejarah yang panas. Malaysia menang, penyokong Indonesia mengusik. Indonesia menang, penyokong Malaysia membalas. Itulah bola sepak.

Sedikit ejekan. Sedikit meme. Sedikit sindiran. Esok kita bekerja seperti biasa. Tidak ada masalah. Rivalry menjadikan bola sepak menarik. Tetapi ada satu garis merah yang tidak patut dilintasi. Bangsa.

Masalah media sosial hari ini ialah sesetengah penyokong merasakan apa sahaja boleh disebut atas nama banter. Apabila kalah, hina negara. Apabila marah, hina keluarga. Apabila kehabisan modal, hina bangsa.  Rasisme tidak menjadi kurang rasis hanya kerana diletakkan emoji ketawa di hujung ayat.

Pavithran tidak turun ke padang sebagai Melayu. Dia tidak turun sebagai India. Dia tidak turun sebagai Cina, Dayak, Kadazan, Sikh atau mana-mana etnik. Dia turun memakai lambang Malaysia di dada.

Penyokong Harimau Malaya turun memberikan sokongan. Foto dari FB Football Association of Malaysia.

Jangan Pula Malaysia Balas Dengan Rasisme Terhadap Indonesia

Tetapi rakyat Malaysia juga perlu berhati-hati. Kesilapan paling bodoh yang boleh dilakukan selepas insiden ini ialah membalas rasisme dengan rasisme. Beberapa akaun Indonesia membuat komen jijik terhadap Pavithran.

Kemudian kita pula menyerang seluruh rakyat Indonesia. Apa bezanya?

Jangan kerana beberapa akaun menulis perkara bodoh, kita tiba-tiba menyimpulkan bahawa lebih 280 juta rakyat Indonesia mempunyai pemikiran yang sama.

Itu juga prejudis.

Malah laporan mengenai insiden Pavithran sendiri hanya menyebut komen tersebut kelihatan datang daripada pengguna Indonesia, bukannya membuktikan seluruh gelombang itu suatu kempen rasmi atau mewakili pandangan masyarakat Indonesia.

Bezakan dua perkara, Netizen Indonesia yang membuat komen rasis dengan rakyat Indonesia. Itu bukan perkara yang sama.

Sama seperti jika 20 rakyat Malaysia membuat komen bodoh di Instagram, kita tentu tidak mahu 34 juta rakyat Malaysia dianggap rasis kerana mereka. Kita mesti konsisten.

Kalau kita marah apabila Pavithran dinilai berdasarkan etniknya, kita juga tidak boleh menilai seluruh rakyat Indonesia berdasarkan beberapa akaun media sosial.

Ironinya, pemain bola sepak di Indonesia sendiri pernah menjadi mangsa budaya serangan media sosial seperti ini.

FIFPRO pernah melaporkan bahawa Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Indonesia (APPI) terpaksa campur tangan dalam kes pemain yang menerima gangguan, ancaman dan penghinaan rasis dalam talian.

Antaranya ialah pemain Bali United kelahiran Cameroon, Privat Mbarga, yang menerima mesej mengganggu dan serangan berbaur perkauman.

APPI bukan sahaja mengatur pertemuan antara pemain dan pelaku, malah dalam beberapa kes membawa perkara itu kepada polis.

Dalam tempoh beberapa tahun, sekurang-kurangnya 14 pemain mendapatkan bantuan APPI berhubung gangguan media sosial, dengan beberapa kes akhirnya dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Ini menunjukkan sesuatu yang penting. Masalah sebenar bukan Indonesia. Masalah sebenar ialah budaya penyokong toksik.

Hari ini pemain Malaysia jadi mangsa. Esok mungkin pemain Indonesia. Lusa pemain Vietnam. Kemudian Thailand.

Selagi ruang digital memberi ganjaran kepada kemarahan, penghinaan dan provokasi, perkara yang sama akan terus berlaku.

Dahulu seorang penyokong rasis mungkin menjerit di kedai kopi. Lima orang dengar. Hari ini dia menulis satu komen. Lima ratus ribu orang boleh melihatnya. Itulah perubahan besar yang dibawa media sosial.

Platform digital tidak semestinya mencipta manusia rasis. Tetapi ia memberi mereka mikrofon. Lebih teruk, algoritma sering memberi perhatian kepada kandungan yang menghasilkan reaksi.

Semakin orang marah. Semakin ramai membalas. Semakin ramai share. Semakin panjang perbalahan. Semakin besar jangkauan kandungan tersebut.

Kajian tentang penyebaran ucapan kebencian di media sosial menunjukkan kandungan daripada pengguna yang menyebarkan kebencian boleh mempunyai jaringan yang lebih rapat dan penyebaran yang luas dalam ekosistem digital.

Maka seorang manusia dengan 300 pengikut boleh memulakan pergaduhan antara dua negara dengan satu ayat bodoh.

Kemudian akaun media sosial lain screenshot.

Portal mengambil.

TikTok membuat video.

Influencer memberi reaksi.

Malaysia membalas Indonesia.

Indonesia membalas Malaysia.

Dalam masa beberapa jam, satu komen bodoh berubah menjadi “Netizen Malaysia vs Netizen Indonesia.”

Algoritma menang. Manusia kalah.

Ada satu perkara yang membuat serangan terhadap Pavithran lebih ironik. Pemain seperti beliau sebenarnya mewakili kekuatan Malaysia. Negara ini memang dibina daripada masyarakat pelbagai kaum.

Buka senarai pemain Malaysia dalam mana-mana era. Kita pernah mempunyai nama-nama daripada pelbagai latar belakang.

Melayu.

India.

Cina.

Sikh.

Anak Sabah.

Anak Sarawak.

Pemain warisan.

Apabila mereka memakai jersi negara, persoalannya bukan siapa datuk mereka atau apa warna kulit mereka.

Persoalannya boleh main bola atau tidak?

Jika Pavithran menjaringkan gol kemenangan Malaysia, penyokong di stadium tidak bertanya dahulu:

“Dia kaum apa?”

Orang melompat.

Orang menjerit.

Orang meraikan.

Itulah sukan, dan mungkin itulah antara perkara paling indah tentang bola sepak. Untuk 90 minit, jutaan manusia yang berbeza latar belakang boleh mempunyai satu identiti yang sama. Malaysia.

Bola Sepak Tidak Perlukan Warna Kulit Untuk Menentukan Siapa Lebih Hebat

Akhirnya perkara ini sangat mudah. Dalam bola sepak, seseorang pemain hanya perlu dinilai berdasarkan apa yang dilakukannya di atas padang.

Berapa banyak gol? Berapa assist? Berapa tackle? Berapa banyak kesilapan? Berapa kuat dia berlari? Sejauh mana dia berjuang untuk jersi negara? Itu sahaja.

Setiap pemain tidak perlu membuktikan bahawa dirinya cukup Malaysia kerana rupa parasnya tidak memenuhi stereotaip sesetengah manusia tentang bagaimana seorang rakyat Malaysia sepatutnya kelihatan.

Dia memakai jersi Malaysia. Dia turun bermain untuk Malaysia. Dia menjaringkan gol untuk Malaysia. Apa lagi yang perlu dibuktikan?

Nusatimes