BEIRUT, 12 Mac 2026 (KEMASKINI setakat jam 530am waktu Malaysia) – Ruang udara Lubnan kembali diselubungi asap hitam tebal pagi ini apabila tentera Israel (IDF) melancarkan siri serangan udara besar-besaran yang menyasarkan beberapa lokasi strategik di ibu negara ini dan wilayah selatan.
Serangan yang bermula pada awal pagi tadi dilaporkan sebagai salah satu pengeboman paling hebat sejak konflik memuncak awal bulan ini.
Pinggir selatan Beirut, khususnya kawasan Dahiya yang merupakan kubu kuat Hezbollah, sekali lagi menjadi sasaran utama. Menurut saksi, sekurang-kurangnya tiga letupan besar menggegarkan kawasan Haret Hreik dan Chiyah dalam tempoh kurang 10 minit.
Pihak IDF menerusi satu kenyataan rasmi mendakwa serangan tersebut menyasarkan pusat arahan taktikal, pusat latihan pasukan elit Radwan, serta kemudahan penyimpanan dron milik Hezbollah. Walau bagaimanapun, kemusnahan infrastruktur awam di kawasan sekitar dilaporkan amat serius.
Sebelum itu, Hezbollah turut melancarkan serangan lebih 100 roket ke arah wilayah utara Israel termasuk bandar Haifa. Situasi kemanusiaan di Lubnan kini berada di tahap kritikal. Agensi bantuan melaporkan lebih 816,000 penduduk telah melarikan diri dari kediaman masing-masing sejak minggu lalu.
Pusat-pusat perlindungan sementara di utara Lubnan dan Beirut dilaporkan sudah sesak dan kekurangan bekalan asas seperti ubat-ubatan dan selimut.













