Angka pertumbuhan memberangsangkan, inflasi terkawal dan pasaran pekerjaan stabil. Tetapi bagi sebahagian rakyat Malaysia, persoalan ekonominya jauh lebih mudah: selepas bayar rumah, kereta, makan dan bil, tinggal berapa?
Kalau kita membaca angka rasmi semata-mata, ekonomi Malaysia sebenarnya tidak kelihatan buruk. Malah, boleh dikatakan agak cantik.
Ekonomi negara berkembang 5.4 peratus pada suku pertama 2026, mengatasi jangkaan pasaran. Bank Negara Malaysia (BNM) pula mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang sekitar 4 hingga 5 peratus sepanjang 2026, disokong permintaan domestik, penggunaan isi rumah dan keadaan pasaran buruh yang relatif kukuh.
Inflasi juga tidak berada pada paras yang boleh dianggap luar biasa tinggi.
Pada Jun 2026, kadar inflasi Malaysia direkodkan pada 1.9 peratus, sedikit menurun berbanding 2.0 peratus pada Mei. Pengangguran pula sekitar 3.0 peratus pada Mei 2026. Kalau berhenti membaca di sini, kita mungkin boleh membuat kesimpulan mudah, Malaysia baik-baik sahaja.
Masalahnya, ekonomi yang dilihat melalui spreadsheet tidak semestinya ekonomi yang dirasai ketika seseorang berdiri di hadapan kaunter pasar raya.
Dan di sinilah muncul jurang paling berbahaya dalam perbincangan ekonomi negara hari ini, jurang antara angka makro dengan pengalaman hidup rakyat.
Kita juga sering mendengar tentang pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar atau GDP. GDP naik. Pelaburan masuk. Eksport meningkat. Ringgit mengukuh atau melemah. Pasaran buruh stabil.
Semua itu penting. Tidak ada siapa patut menafikan kepentingannya. Tetapi seorang bapa dengan dua orang anak tidak pergi ke pasar raya membawa laporan GDP.
Seorang ibu tunggal tidak membayar sewa rumah menggunakan angka pertumbuhan ekonomi 5.4 peratus.
Seorang graduan yang menerima gaji RM3,000 sebulan tidak akan tiba-tiba merasa kaya hanya kerana negara sedang mencatat pertumbuhan ekonomi yang baik.
Data terbaru Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan gaji bulanan median pekerja sektor formal berada pada RM3,027 pada Mac 2026.
Jumlahnya adalah RM3,027. Cuba bayangkan seorang pekerja muda di Lembah Klang.
Selepas ditolak caruman wajib, dia mungkin perlu membayar sewa bilik atau rumah, ansuran kereta atau motosikal, minyak, tol, makanan, telefon, internet, pinjaman pendidikan dan mungkin sedikit wang untuk ibu bapa.
Belum masuk kahwin. Belum masuk anak. Belum masuk kecemasan. Belum kereta rosak. Belum ibu masuk hospital. Belum tayar pecah.
Inilah ekonomi sebenar. Ia tidak bergerak dalam bentuk graf. Ia bergerak dari satu tarikh gaji ke tarikh gaji berikutnya.
Ada satu perkara yang sering disalahfahami apabila bercakap tentang inflasi. Apabila kadar inflasi turun, ia tidak bermaksud harga barang kembali kepada harga lama.
Ia sekadar bermaksud kadar kenaikan harga menjadi lebih perlahan. Harga yang sudah naik sebelum ini kebanyakannya kekal pada paras baharu.
Contohnya, inflasi makanan dan minuman meningkat 1.4 peratus pada Mei 2026, manakala kategori perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat 1.2 peratus.
Jadi apabila rakyat berkata mereka masih merasakan barang mahal sedangkan statistik mengatakan inflasi hanya sekitar dua peratus, kedua-duanya sebenarnya boleh menjadi benar.
Kerajaan melihat kadar perubahan harga. Rakyat melihat jumlah pada resit. Itulah bezanya.
Dan resit pasar raya tidak pernah peduli tentang istilah ekonomi. RM100 tetap RM100.
Masalah Malaysia Mungkin Bukan Harga Semata-mata
Ada kecenderungan untuk melihat semua rungutan rakyat tentang ekonomi sebagai masalah kenaikan harga.
Hakikatnya lebih kompleks. Malaysia juga mempunyai masalah kuasa membeli.
Jika barang naik tiga peratus tetapi pendapatan seseorang meningkat 10 peratus, kenaikan harga mungkin masih boleh diterima.
Tetapi jika kos hidup meningkat sementara pendapatan bergerak terlalu perlahan, tekanan mula dirasakan.
Walaupun median gaji pekerja formal meningkat daripada RM3,000 pada Mac 2025 kepada RM3,027 pada Mac 2026, angka itu juga menunjukkan betapa nipisnya ruang kewangan sebahagian besar tenaga kerja kita.
Dan kita harus ingat satu perkara lagi.
Data gaji formal itu sendiri hanya meliputi kira-kira enam juta pekerja berdasarkan data pentadbiran KWSP, PERKESO dan DOSM. Ia tidak merangkumi keseluruhan pengalaman pekerja gig, peniaga kecil, pekerja informal dan kelompok lain dalam pasaran buruh.
Grab rider mempunyai ekonomi sendiri. Penjaja mempunyai ekonomi sendiri. Peniaga pasar malam mempunyai ekonomi sendiri. Freelancer mempunyai ekonomi sendiri.
Bila kos minyak, bahan mentah atau sewa meningkat, mereka merasainya dengan cara yang berbeza.
Malah baru-baru ini, kenaikan harga diesel tanpa subsidi dilaporkan memberi tekanan besar kepada pekebun kecil kelapa sawit di Sabah dan Sarawak, apabila kos pengangkutan, mesin dan operasi meningkat.
Akhirnya kos dalam satu bahagian ekonomi mempunyai kecenderungan merayap masuk ke bahagian lain.
Satu lagi masalah yang jarang dibincangkan secara terang-terangan ialah perubahan struktur kehidupan masyarakat Malaysia.
Generasi terdahulu mungkin membeli rumah ketika usia masih muda. Hari ini sebahagian anak muda menghabiskan usia 20-an mereka sekadar cuba memastikan akaun bank tidak kosong sebelum hujung bulan.
Mereka bukan semestinya malas. Mereka bukan semestinya boros.
Dan bukan semuanya menghabiskan duit membeli kopi mahal seperti stereotaip popular di media sosial.
Persoalan sebenarnya ialah sama ada struktur pendapatan generasi muda berkembang sepantas struktur kos kehidupan moden.
Rumah. Pengangkutan. Penjagaan anak. Pendidikan. Kesihatan. Insurans. Internet. Makanan.
Semuanya kini sebahagian daripada kos untuk hidup secara normal dalam sebuah ekonomi moden.
Sebab itu apabila ahli ekonomi mengatakan keadaan Malaysia ‘resilient’, rakyat mungkin menjawab:
“Bagus. Tapi saya masih tak cukup duit.”
Dua kenyataan itu tidak semestinya bercanggah.
Kritikan terhadap keadaan ekonomi rakyat tidak bermaksud kita perlu berpura-pura Malaysia sedang mengalami kehancuran ekonomi.
Itu juga tidak jujur.
Pada satu tahap, Malaysia perlu bercakap lebih serius tentang gaji. Bukan sahaja gaji minimum. Tetapi gaji berdasarkan produktiviti. Pekerjaan bernilai tinggi. Mobiliti sosial. Perumahan mampu milik. Kos penjagaan anak. Pengangkutan awam.
Pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama bukan angka kecil. Pengangguran sekitar tiga peratus menunjukkan pasaran buruh masih relatif kukuh. Inflasi di bawah dua peratus juga jauh daripada senario kenaikan harga ekstrem yang pernah dialami beberapa ekonomi lain.
Persoalannya bukan sama ada ekonomi berkembang. Persoalannya siapa yang paling banyak menikmati pertumbuhan itu.
Jika GDP meningkat tetapi sebahagian besar pekerja masih hidup dengan pendapatan sekitar RM3,000 sebulan, kita perlu bertanya sama ada pertumbuhan tersebut benar-benar diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup yang lebih luas.
Ekonomi yang berjaya bukan sekadar ekonomi yang mampu menarik berbilion ringgit pelaburan.
Ekonomi yang berjaya sepatutnya membolehkan seorang jururawat, guru, juruteknik, wartawan, operator kilang atau penghantar makanan hidup dengan sedikit ruang untuk bernafas. Bukan sekadar survive.
Kerajaan memang mempunyai pelbagai bentuk subsidi, bantuan tunai dan program perlindungan sosial.
Langkah seperti ini penting terutama kepada golongan berpendapatan rendah. Tetapi sebuah negara tidak boleh selama-lamanya menyelesaikan masalah pendapatan melalui bantuan.
Pada satu tahap, Malaysia perlu bercakap lebih serius tentang gaji. Bukan sahaja gaji minimum. Tetapi gaji berdasarkan produktiviti. Pekerjaan bernilai tinggi. Mobiliti sosial. Perumahan mampu milik. Kos penjagaan anak. Pengangkutan awam.
Dan bagaimana seseorang yang lahir dalam keluarga berpendapatan rendah benar-benar boleh bergerak ke kelas pertengahan tanpa mengambil masa dua generasi.
Jika tidak, kita akan terus menjalankan kitaran sama: Harga naik. Rakyat mengeluh. Kerajaan beri bantuan. Tekanan reda. Harga naik lagi. Bantuan bertambah.
Masalah sebenar tidak pernah selesai.
Jangan Suruh Rakyat Bersyukur Dengan Statistik
Ini mungkin perkara paling penting.
Dalam komunikasi ekonomi, Kerajaan, mana-mana kerajaan perlu berhati-hati supaya tidak kelihatan seperti sedang menggunakan statistik untuk menafikan pengalaman rakyat.
Apabila rakyat berkata hidup semakin mahal, respons terbaik bukan:
“Tapi inflasi rendah.”
Apabila rakyat berkata gaji tidak cukup, jangan balas:
“Tapi GDP berkembang.”
Apabila rakyat berkata susah membeli rumah, jangan tunjuk angka pelaburan asing. Semua angka itu penting. Tetapi ekonomi bukan pertandingan PowerPoint.
Ekonomi akhirnya ialah pengalaman manusia. Bolehkah seseorang membayar bil tanpa berhutang?
Bolehkah sebuah keluarga membawa anak makan di luar sekali-sekala tanpa perlu mengira baki akaun?
Bolehkah pekerja berusia 30 tahun mempunyai sedikit simpanan jika kehilangan pekerjaan?
Bolehkah ibu bapa menghantar anak ke universiti tanpa mengorbankan seluruh wang persaraan?
Bolehkah seorang pekerja melihat kenaikan gaji sebagai sesuatu yang lebih pantas daripada kenaikan kos kehidupannya?
Kalau jawapannya semakin sukar, maka kita masih mempunyai masalah ekonomi walaupun graf kelihatan cantik.
Akhirnya, Rakyat Tidak Makan GDP
Malaysia perlukan pertumbuhan ekonomi.
Kita perlukan pelaburan.
Kita perlukan produktiviti.
Kita perlukan disiplin fiskal.
Kita perlukan ekonomi yang berdaya tahan.
Semua itu betul.
Tetapi semua itu hanyalah alat.
Matlamat sebenar ekonomi sepatutnya jauh lebih mudah, membolehkan rakyat hidup dengan lebih baik.
Sebab akhirnya, rakyat tidak bangun setiap pagi memikirkan berapa peratus GDP Malaysia berkembang.
Mereka fikir harga sarapan.
Mereka fikir duit minyak.
Mereka fikir ansuran rumah.
Mereka fikir yuran taska.
Mereka fikir baki kad kredit.
Mereka fikir berapa hari lagi sebelum gaji masuk.
Sebab itu kerajaan boleh mengatakan ekonomi Malaysia semakin baik dan rakyat pada masa sama boleh mengatakan kehidupan mereka masih susah.
Kedua-duanya mungkin benar.
Tetapi dalam politik dan kehidupan sebenar, ada satu angka yang selalunya lebih berkuasa daripada GDP, inflasi atau FDI.
Baki akaun bank rakyat pada minggu terakhir setiap bulan.
Dan selagi angka itu masih membuat ramai rakyat Malaysia gelisah, jangan terlalu cepat mengatakan ekonomi sudah baik.
Kerana mungkin ekonomi memang sedang berkembang.
Cuma poket rakyat belum sempat mengejarnya.












