Kita sering menyalahkan nasi, teh tarik, roti canai dan makanan segera apabila bercakap mengenai obesiti. Tetapi mungkin masalah sebenar lebih besar daripada apa yang ada di atas pinggan iaitu cara hidup rakyat Malaysia sendiri sudah berubah.
Kalau mahu mencari satu perkara yang rakyat Malaysia hampir semuanya boleh bersetuju, mungkin jawapannya ialah makanan.
Sarapan nasi lemak. Tengah hari nasi campur. Petang teh tarik dengan kuih. Malam pula mamak. Kalau lapar selepas tengah malam, aplikasi penghantaran makanan hanya beberapa sentuhan di telefon.
Makanan bukan sekadar keperluan di Malaysia. Ia sebahagian daripada budaya, sosial dan identiti kita. Masalahnya, tubuh manusia tidak berubah sepantas gaya hidup kita.
Hari ini semakin ramai rakyat Malaysia bekerja berjam-jam di hadapan komputer, memandu ke tempat kerja, menggunakan lif untuk naik beberapa tingkat dan menghabiskan waktu malam di depan telefon atau televisyen.
Dalam masa yang sama, makanan semakin mudah diperoleh. Gabungan dua perkara ini sedang menghasilkan satu masalah kesihatan yang semakin sukar untuk kita abaikan.
Data National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023 menunjukkan 54.4 peratus orang dewasa di Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau obes. Angka itu meningkat daripada 44.5 peratus pada 2011. Maknanya, dalam tempoh lebih kurang sedekad, masalah berat badan berlebihan dalam kalangan rakyat Malaysia meningkat dengan ketara.
Mudah sahaja untuk berkata, “Orang Malaysia makan banyak.” Tetapi adakah semudah itu?

Kita makan banyak, tetapi kita juga semakin kurang bergerak
Bayangkan rutin seorang pekerja bandar. Bangun pagi, masuk kereta. Sampai pejabat, duduk. Pergi makan tengah hari, naik kereta. Balik rumah, sekali lagi duduk dalam kesesakan. Sampai rumah, makan malam sebelum menghabiskan beberapa jam menonton Netflix, TikTok atau bermain telefon. Esok, perkara sama berulang.
NHMS 2023 menganggarkan sekitar 29.9 peratus orang dewasa Malaysia tidak aktif secara fizikal. Kajian berdasarkan data nasional turut menunjukkan ketidakaktifan fizikal lebih ketara dalam beberapa kelompok termasuk penduduk bandar dan mereka yang mempunyai tempoh sedentari yang panjang.
Jadi apabila kita bercakap mengenai masalah obesiti, persoalannya bukan semata-mata berapa banyak nasi yang kita makan. Persoalannya juga ialah berapa banyak sebenarnya kita bergerak setiap hari?
Kita mungkin pergi gim satu jam pada malam Rabu, tetapi jika sebahagian besar minggu dihabiskan dengan duduk, memandu dan berbaring, satu sesi senaman itu tidak semestinya mencerminkan gaya hidup yang benar-benar aktif.
Ada satu lagi perkara yang sering terlepas daripada radar iaitu minuman.
Segelas teh ais nampak tidak berbahaya. Begitu juga kopi ais, minuman coklat, boba, minuman berperisa dan pelbagai jenis kopi moden yang semakin menjadi sebahagian daripada rutin harian.
Masalahnya, gula dalam bentuk cecair sangat mudah diambil tanpa kita sedar jumlah sebenarnya.
Satu kajian yang diterbitkan pada 2025 melaporkan pengambilan gula daripada minuman bergula dalam populasi Malaysia berada pada purata sekitar 59 gram sehari, bersamaan kira-kira 12 sudu teh gula.
Kita mungkin mengurangkan nasi daripada dua senduk kepada satu senduk kerana mahu diet, tetapi kemudian memesan segelas minuman manis bersama makanan. Akhirnya, kalori yang cuba dijimatkan masuk kembali melalui straw.
Satu kajian yang diterbitkan pada 2025 melaporkan pengambilan gula daripada minuman bergula dalam populasi Malaysia berada pada purata sekitar 59 gram sehari, bersamaan kira-kira 12 sudu teh gula.
Makanan kita bukan musuh
Namun, menyalahkan nasi lemak juga tidak menyelesaikan masalah. Tidak ada satu makanan yang secara ajaib menjadikan seluruh negara obes.
Nasi lemak boleh dimakan dalam kuantiti munasabah. Roti canai sesekali tidak menjadikan seseorang terus tidak sihat. Teh tarik sekali-sekala juga bukan satu jenayah kesihatan.
Masalah bermula apabila sekali-sekala menjadi setiap hari. Di sinilah perbincangan mengenai obesiti perlu berubah.
Daripada sekadar mengatakan kurangkan makan, kita perlu bertanya kenapa masyarakat semakin sukar hidup secara sihat.
Adakah bandar kita cukup mesra untuk berjalan kaki? Adakah waktu bekerja memberi ruang kepada orang ramai bersenam? Adakah makanan lebih sihat cukup murah dan mudah diperoleh? Adakah saiz hidangan kita semakin besar? Adakah budaya kita terlalu membiasakan minuman bergula dalam setiap waktu makan?
Obesiti tidak berlaku kerana satu keputusan buruk ketika makan malam. Ia biasanya terbentuk daripada ratusan keputusan kecil yang berulang setiap hari selama bertahun-tahun.
Perbincangan mengenai obesiti juga tidak seharusnya berubah menjadi budaya memperlekeh atau memalukan orang berbadan besar. Ini bukan pertandingan siapa paling kurus. Isunya ialah kesihatan.
Berat badan berlebihan dan obesiti berkait dengan peningkatan risiko pelbagai penyakit tidak berjangkit, termasuk diabetes jenis 2, penyakit kardiovaskular dan beberapa penyakit kronik lain. Sebab itu peningkatan angka obesiti bukan sekadar isu individu, tetapi mempunyai implikasi lebih luas kepada kesihatan awam.
Apabila semakin ramai rakyat menghidap penyakit kronik pada usia produktif, kesannya akhirnya turut dirasai oleh keluarga, majikan dan sistem kesihatan negara.
Kos sebenar obesiti bukan terletak pada saiz seluar. Ia boleh muncul bertahun-tahun kemudian dalam bentuk ubat darah tinggi, rawatan diabetes, penyakit jantung dan pelbagai komplikasi kesihatan.
Penyelesaian kepada masalah ini sebenarnya tidak memerlukan semua rakyat Malaysia tiba-tiba berlari maraton. Kita cuma perlu kembali bergerak. Berjalan lebih banyak. Gunakan tangga apabila mampu. Kurangkan masa duduk tanpa henti.
Jadikan aktiviti fizikal sebahagian daripada rutin harian, bukannya sesuatu yang hanya dilakukan apabila mahu kurus sebelum raya.
Dalam soal makanan pula, mungkin sudah tiba masanya kita berhenti melihat makanan secara ekstrem sama ada boleh makan atau tak boleh makan.
Apa yang lebih penting ialah kuantiti, kekerapan dan keseimbangan. Kita masih boleh menikmati nasi lemak. Kita masih boleh minum teh tarik. Kita masih boleh makan roti canai bersama kawan-kawan.
Tetapi mungkin tidak semuanya dalam hari yang sama, setiap hari, sambil menghabiskan hampir seluruh masa dalam keadaan duduk.
Kita menjadi semakin gemuk kerana dunia di sekeliling kita menjadikan makanan sangat mudah diperoleh, sementara kehidupan moden pula semakin menghapuskan keperluan untuk bergerak.
Dan kalau trend ini mahu diubah, penyelesaiannya juga tidak boleh berhenti pada satu nasihat lama iaitu makanlah kurang. Kadangkala persoalan yang lebih tepat ialah:
Bila kali terakhir kita benar-benar bergerak?













