Gaya HidupLiburTerkiniUtama

Percutian Dua Hari Kini Jadi Trend

Nusatimes

Dulu bercuti mungkin bermaksud ambil cuti seminggu, tempah hotel berbulan awal dan susun itinerari panjang. Hari ini, ramai anak muda hanya perlukan dua hari, sebuah kereta dan destinasi yang tidak terlalu jauh untuk ‘lari’ sekejap daripada rutin.

Jumaat petang habis kerja. Malam itu terus memandu ke Melaka, Ipoh, Genting Highlands atau mana-mana destinasi yang boleh dicapai dalam beberapa jam.

Sabtu berjalan, makan, ambil gambar dan berehat. Ahad petang sudah kembali ke rumah. Isnin masuk kerja seperti biasa. Begitulah rupa percutian bagi semakin ramai anak muda hari ini.

Tidak perlu tunggu cuti sekolah. Tidak semestinya perlu mengambil cuti tahunan lima hari. Malah, tidak wajib menaiki kapal terbang. Cukup sekadar satu atau dua malam untuk keluar daripada rutin harian.

Trend ini sering digelar short getaway, micro-travel atau micro-cation, percutian pendek yang lebih mudah dirancang, lebih fleksibel dan biasanya lebih mesra poket. Menariknya, trend ini sangat sesuai dengan Malaysia.

Satu kajian Agoda yang diterbitkan pada April 2026 mendapati pengembara Gen Z di Asia semakin memilih perjalanan yang lebih pendek tetapi lebih kerap, berbanding menunggu satu percutian panjang dalam setahun.

Ini menggambarkan satu perubahan besar dalam cara generasi muda melihat konsep bercuti. Bercuti tidak lagi semestinya sesuatu yang perlu dirancang enam bulan lebih awal. Kadangkala keputusan dibuat pada hari Rabu. Hotel ditempah Khamis. Jumaat malam terus bergerak.

Malah, penyelidikan Agoda sebelum ini mendapati Gen Z lebih cenderung membuat tempahan pada saat akhir; 20 peratus menempah penerbangan kurang seminggu sebelum perjalanan, manakala kira-kira satu daripada empat membuat tempahan penginapan pada saat akhir.  Spontan kini menjadi sebahagian daripada budaya travel.

Dari segi geografi, Malaysia mempunyai kelebihan yang besar. Jika berada di Lembah Klang, beberapa jam perjalanan sudah boleh membawa seseorang kepada suasana yang sangat berbeza. Mahukan bandar bersejarah? Melaka. Mahukan makanan? Ipoh atau Pulau Pinang. Mahukan udara sejuk? Genting Highlands atau Cameron Highlands. Mahukan pantai? Port Dickson atau pantai timur jika sanggup memandu lebih jauh. Mahukan alam semula jadi? Kuala Kubu Bharu, Janda Baik dan banyak lagi pilihan tersedia.

Satu kajian Agoda yang diterbitkan pada April 2026 mendapati pengembara Gen Z di Asia semakin memilih perjalanan yang lebih pendek tetapi lebih kerap, berbanding menunggu satu percutian panjang dalam setahun.

Dalam konteks ini, pelancongan dua hari bukanlah sekadar trend media sosial. Ia sebenarnya sesuai dengan struktur destinasi pelancongan Malaysia yang banyak terletak dalam jarak perjalanan darat antara satu sama lain.

Bahkan Kuala Lumpur sendiri pernah muncul sebagai destinasi penginapan satu malam paling popular di Asia berdasarkan data tempahan Agoda bagi Januari hingga Mei 2025, sementara Pulau Pinang berada dalam kelompok 10 teratas.

Maknanya, konsep datang sekejap, tidur satu malam dan pulang bukan sesuatu yang pelik lagi. Ia sudah menjadi sebahagian daripada cara orang melancong.

Kenapa tunggu tiga bulan kalau hujung minggu ini boleh pergi?

Ada satu sebab mudah kenapa percutian pendek semakin menarik. Kerana Mudah. Percutian seminggu memerlukan banyak perkara. Cuti kerja. Bajet lebih besar. Perancangan perjalanan. Penjagaan anak atau haiwan peliharaan. Bagasi. Tiket penerbangan. Kadangkala jadual semua ahli kumpulan perlu diselaraskan.

Percutian dua hari pula jauh lebih ringkas. Masukkan beberapa helai baju ke dalam beg. Isi minyak. Cari hotel. Pergi.

Bagi pekerja muda yang mempunyai jumlah cuti tahunan terhad, format perjalanan seperti ini membolehkan mereka menikmati beberapa percutian kecil sepanjang tahun tanpa perlu menghabiskan cuti dalam satu perjalanan sahaja.

Daripada satu percutian tujuh hari, ada yang mungkin memilih empat atau lima perjalanan hujung minggu.

Media sosial turut mempercepatkan budaya ini. Kita mungkin sedang duduk di rumah pada malam Selasa apabila sebuah video muncul di TikTok:

“Hidden gem dua jam dari KL.”

Video seterusnya:

“Chalet RM180 satu malam, view macam Bali.”

Kemudian:

“Itinerary Ipoh 2 hari 1 malam bawah RM300.”

Tiba-tiba perjalanan yang sebelum itu tidak pernah terlintas terasa sangat mudah dilakukan. Inilah kekuatan kandungan pelancongan pendek. Ia bukan sahaja menunjukkan destinasi, tetapi menunjukkan bahawa destinasi itu boleh dicapai sekarang.

Tidak perlu tunggu Disember. Tidak perlu simpan RM5,000. Tidak perlu pasport. Sabtu ini pun boleh pergi.

Perkataan healing mungkin digunakan secara santai di media sosial, tetapi ia menggambarkan sesuatu yang nyata dalam gaya hidup generasi muda.

Selepas lima hari bekerja, menghadapi kesesakan lalu lintas, mesyuarat, tugasan, WhatsApp kerja dan kehidupan bandar, dua malam di tempat lain boleh terasa seperti satu bentuk reset.

Tidak semestinya perlu melakukan banyak aktiviti.

Ada yang sekadar mahukan kopi, pemandangan gunung, kolam renang, makanan sedap dan tidur tanpa alarm.

Sebab itu resort kecil, glamping, kabin, homestay, penginapan berkonsep alam semula jadi dan hotel butik semakin sesuai dengan gaya perjalanan pendek. Pengalaman menjadi lebih penting daripada tempoh.

Dua hari yang betul-betul dinikmati kadangkala terasa lebih bermakna daripada seminggu yang terlalu padat dengan itinerari.

Dari sudut industri, fenomena ini sangat menarik. Pelancong dua hari mungkin tidak berbelanja sebanyak seseorang yang bercuti seminggu. Tetapi jika perjalanan dilakukan lebih kerap, nilai keseluruhannya tetap besar.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan perbelanjaan pelancongan domestik negara mencapai RM121.3 bilion pada 2025, meningkat 13.6 peratus daripada RM106.7 bilion pada 2024.

Pada suku keempat 2025 sahaja, perbelanjaan pelancongan domestik mencecah RM32.6 bilion, meningkat 12.4 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Angka ini menunjukkan rakyat Malaysia bukan sekadar bercakap tentang bercuti dalam negara.

Mereka benar-benar berbelanja dan perbelanjaan tersebut tidak berhenti pada hotel. Ia pergi kepada restoran, warung, kafe, stesen minyak, pengusaha aktiviti, kedai cenderamata, pengangkutan, peniaga kecil dan komuniti tempatan.

Sebuah keluarga yang datang hanya untuk dua hari masih mungkin membayar RM250 untuk hotel, RM150 untuk makanan, RM100 untuk aktiviti dan puluhan ringgit lagi kepada peniaga di kawasan tersebut.

Jika perkara sama dilakukan oleh ribuan pelawat setiap hujung minggu, kesannya kepada ekonomi tempatan tidak kecil.

Trend percutian singkat juga memberi peluang kepada lokasi yang tidak mempunyai cukup tarikan untuk itinerari seminggu. Sebuah bandar mungkin tidak mampu menarik pelancong selama tujuh hari.

Tetapi untuk 2 hari 1 malam?

Lebih daripada cukup. Ini membuka peluang besar kepada bandar kecil. Pengunjung boleh datang untuk makanan tempatan, satu atau dua tarikan, kemudian bermalam sebelum pulang.

Perjalanan tidak perlu kompleks. Malah, bagi sesetengah Gen Z, semakin sederhana perjalanan itu, semakin menarik. Datang. Makan. Jalan. Ambil gambar. Tidur. Esok cari sarapan. Balik. Selesai.

Apabila cara orang bercuti berubah, industri penginapan juga perlu memahami perubahan tersebut. Pengembara short getaway mempunyai keutamaan yang sedikit berbeza. Mereka mungkin tidak memerlukan bilik besar. Tetapi mereka mahu lokasi strategik. Proses daftar masuk mudah. Parking tersedia. Wi-Fi bagus. Tempat makan dekat.

Kalau penginapan itu mempunyai sudut yang cantik untuk gambar atau video, itu satu bonus besar. Bagi pengusaha homestay pula, peluang mungkin lebih menarik. Rumah kecil dengan kolam. Kabin menghadap sungai. Chalet dalam dusun. Glamping berdekatan bukit. Semua ini boleh menjadi produk pelancongan yang sesuai untuk pasaran hujung minggu.

Apabila cara orang bercuti berubah, industri penginapan juga perlu memahami perubahan tersebut. Pengembara short getaway mempunyai keutamaan yang sedikit berbeza. Mereka mungkin tidak memerlukan bilik besar. Tetapi mereka mahu lokasi strategik. Proses daftar masuk mudah. Parking tersedia. Wi-Fi bagus. Tempat makan dekat.

RM300 pun boleh bercuti?

Inilah satu lagi daya tarikan perjalanan singkat. Kosnya lebih mudah dikawal. Jika empat rakan berkongsi kereta dan penginapan, perjalanan pendek boleh menjadi agak murah.

Contohnya, satu perjalanan mungkin hanya melibatkan RM50 hingga RM100 seorang untuk penginapan, RM50 untuk minyak dan tol selepas dikongsi, RM100 hingga RM150 untuk makanan dan sedikit perbelanjaan untuk aktiviti.

Tentunya jumlah sebenar bergantung kepada destinasi dan gaya perjalanan. Tetapi psikologi pengguna sangat berbeza apabila seseorang melihat angka RM300 berbanding RM3,000.

RM300 terasa seperti keputusan yang boleh dibuat sekarang. RM3,000 memerlukan perancangan. Di situlah pelancongan domestik mempunyai kelebihan besar.

Visit Malaysia 2026 boleh manfaatkan trend ini

Momentum percutian domestik ini juga berlaku ketika Malaysia sedang memberi tumpuan besar kepada Visit Malaysia 2026.

Tourism Malaysia terus mempergiat promosi destinasi dan produk pelancongan negara sepanjang 2026, dengan pelancongan domestik kekal penting dalam ekosistem industri negara.

Namun, kempen pelancongan hari ini mungkin tidak lagi cukup dengan sekadar mempromosikan destinasi besar. Peluang seterusnya adalah menjual Malaysia dalam bentuk yang lebih kecil dan mudah dicapai.

Format sebegini lebih dekat dengan cara generasi muda merancang perjalanan. Cuti panjang masih seronok, tetapi bukan lagi satu-satunya pilihan

Sudah tentu, tiada siapa mengatakan percutian seminggu sudah tidak relevan. Pergi Sabah, Sarawak, Langkawi atau luar negara untuk tempoh lebih panjang tetap mempunyai daya tarikannya.

Tetapi cara kita melihat percutian sedang berubah. Kita tidak lagi perlu menunggu cuti lima hari untuk memberi diri sendiri alasan keluar melihat tempat baharu.

Sabtu pagi keluar rumah. Ahad malam balik. Isnin sambung hidup seperti biasa. Mungkin itulah sebabnya short getaway begitu kena dengan generasi hari ini.

Mereka tidak mahu menunggu terlalu lama untuk bercuti. Kalau boleh pergi hujung minggu ini kenapa perlu tunggu cuti panjang?

Nusatimes