SEPANG, 30 Oktober 2026 — Kejayaan menjuarai Grand Prix (GP) Republik Czech pada Jun lalu meletakkan Muhammad Hakim Danish Ramli dalam kelompok pelumba muda yang perlu diberi perhatian, namun cabaran berbeza menantinya apabila turun beraksi di hadapan penyokong sendiri pada GP Malaysia bermula hari ini hingga Ahad.
Pelumba berusia 19 tahun itu bakal membuat penampilan sulung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai pelumba sepenuh masa Kejuaraan Dunia Moto3 selepas sebelum ini beraksi sebagai pelumba wildcard pada edisi 2025.
Kepulangan Hakim Danish membawa makna tersendiri memandangkan Malaysia masih belum pernah menyaksikan pelumba tempatan memenangi perlumbaan Grand Prix di laman sendiri sejak negara mula menjadi tuan rumah kejuaraan itu pada 1991.
Zulfahmi Khairuddin pernah hampir mencipta sejarah apabila menamatkan perlumbaan Moto3 di Sepang pada 2012 di tempat kedua, hanya 0.028 saat di belakang pemenang, Sandro Cortese.
Sebelum ini, Hakim Danish meraih podium ketiga di GP Itali sebelum mencipta kemenangan sulungnya di GP Republik Czech.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif sebelum ini menyuarakan harapan agar Hakim Danish mampu sekurang-kurangnya menaiki podium, namun mengingatkan pelumba muda itu supaya tidak terlalu dibebani sasaran berkenaan.
“Harapan semua orang ialah untuk dia sekurang-kurangnya menaiki podium,” kata Azhan ketika sidang media menjelang GP Malaysia pada Rabu.
Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu kini menghuni tangga kesembilan kejuaraan Moto3 dengan 103 mata selepas 18 pusingan, dalam musim sulungnya sebagai pelumba tetap.
Pada penampilan wildcard di Sepang tahun lalu, beliau berjaya melayakkan diri ke sesi kelayakan kedua (Q2), bermula dari petak ke-12 dan mencatatkan pusingan terpantas perlumbaan sebelum masalah teknikal memaksanya bersara dengan berbaki lima pusingan.
GP Malaysia edisi kali ini turut menandakan 35 tahun penglibatan Malaysia sebagai tuan rumah kejuaraan GP motosikal dunia, dengan Sepang menjadi lokasi perlumbaan sejak 1999.
SIC menyasarkan kehadiran 200,000 penonton sepanjang tiga hari acara berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November, sekali gus menyediakan pentas besar buat Hakim untuk merasai sokongan peminat tempatan.










