DUBAI, 24 Oktober 2026 — Iran dilaporkan menyediakan rancangan terperinci untuk menyasarkan kabel komunikasi dasar laut di Teluk sekiranya Amerika Syarikat (AS) dan Israel menyerang negara itu semula.
Dua pegawai kanan keselamatan Iran memberitahu Reuters, seorang daripadanya turut menyatakan Tehran akan berusaha menghalang pembaikan bagi memanjangkan gangguan komunikasi. Kedua-duanya bercakap tanpa dinamakan dan tidak memperincikan lokasi atau kaedah serangan.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Hal Ehwal Politik Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), Yadollah Javani memberi amaran bahawa tujuh kabel internet utama di bawah Selat Hormuz boleh menjadi sasaran jika infrastruktur Iran diserang.
Bagi Malaysia, kemungkinan kesan termasuk sambungan internet antarabangsa lebih perlahan serta gangguan terhadap urusan digital yang bergantung pada rangkaian terjejas, berdasarkan penerangan mengenai risiko serantau dalam ulasan Fulcrum.
Pembantu Penyelidik Pusat Asia dan Globalisasi di Universiti Nasional Singapura, Mae Chow dalam ulasannya yang diterbitkan Fulcrum pada Mei menyatakan gangguan kabel di Timur Tengah mempunyai implikasi kepada Asia Tenggara.
“Ini termasuk kelewatan pemindahan kewangan, kelajuan internet lebih perlahan serta gangguan kepada perkhidmatan teknologi maklumat global dan perdagangan elektronik,” katanya dipetik dari Fulcrum.
Chow menjelaskan Malaysia mempunyai sambungan melalui sistem kabel Asia-Africa-Europe 1 (AAE-1) serta rangkaian SEA-ME-WE 5. Laluan alternatif boleh mengurangkan kesan, tetapi pengalihan trafik berpotensi menambah masa penghantaran data dan kos rangkaian.
Gangguan di Hormuz tidak bermakna internet Malaysia terputus sepenuhnya
Pengarah Penyelidikan TeleGeography, Alan Mauldin dalam penerangan teknikalnya pada Mac menjelaskan tahap gangguan bergantung pada kepelbagaian kabel yang digunakan pengendali serta kapasiti laluan alternatif.
Menurut beliau, risiko terhadap trafik utama antara Eropah dan Asia daripada konflik yang terbatas di Selat Hormuz adalah lebih kecil kerana kabel laluan tersebut merentasi Laut Merah, jauh dari selat berkenaan.
Namun, pembaikan kabel dalam kawasan konflik boleh menjadi sukar kerana kapal penyelenggaraan memerlukan permit dan perlu berada dalam keadaan pegun ketika melakukan kerja, sekali gus terdedah kepada risiko keselamatan.
Telekom Malaysia Berhad (TM) sebelum ini turut menjelaskan bahawa pelaburannya dalam pelbagai sistem kabel antarabangsa bertujuan meningkatkan kepelbagaian laluan dan daya tahan sambungan Malaysia dengan pasaran luar.
Dalam pengumuman penyertaannya dalam konsortium SEA-ME-WE 6 pada Februari 2022, TM menyenaraikan pelaburan sedia ada dalam SEA-ME-WE 3, SEA-ME-WE 4, SEA-ME-WE 5 serta laluan antarabangsa lain.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Kabel dasar laut SALAM dijangka bermula 2027, siap pada 2029
Tentera laut Iran dakwa tujuh kapal terkena serangan dan periuk api
Iran tegaskan tiada penyelesaian ketenteraan bagi konflik dengan AS










