Nusa Times BACA. FIKIR. BERSUARA.
OCT_Phytoglutide (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement
OCT_Dybesol (2) wellnes promo
OCT_Femiluv (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement

Penduduk Gaza hadapi musim sejuk keempat dalam khemah uzur, serangan Israel berterusan

Kekurangan dana dan peralatan mengehadkan persediaan menghadapi hujan serta banjir, sementara serangan dilaporkan di al-Maghazi dan Jabalia.

October 30, 2026 • 8:08 AM 2 min read • 13 views
Penduduk Gaza hadapi musim sejuk keempat dalam khemah uzur, serangan Israel berterusan

Khemah penduduk yang kehilangan tempat tinggal ditenggelami air hujan di Deir el-Balah, Gaza dalam foto arkib 23 Januari 2025. Foto Ashraf Amra/UNRWA

GAZA, 30 Oktober 2026 — Penduduk Gaza berdepan musim sejuk keempat sejak perang bermula dalam khemah dan tempat perlindungan sementara yang semakin uzur, ketika kekurangan dana serta peralatan mengehadkan persediaan menghadapi hujan, angin dan banjir.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) menyatakan hampir seluruh penduduk wilayah itu masih bertahan dalam tempat perlindungan sementara tanpa perlindungan mencukupi daripada cuaca sejuk.

Menurut laporan OCHA yang diterbitkan pada 26 Oktober, kekurangan generator, pam pengeluaran air, lori penyelenggaraan kumbahan dan bahan pembaikan akan mengehadkan keupayaan agensi bantuan menangani banjir serta saluran kumbahan tersumbat apabila hujan lebat bermula.

OCT_Aphrodax (2)
OSTEOK 1
SponsoredAdvertisement

Di sebuah kem penempatan sementara di pesisir barat Bandar Gaza, penduduk yang kehilangan tempat tinggal, Mohammed al-Jamal, 60, bersama anak-anaknya cuba mengikat kepingan nilon pada khemah keluarga mereka bagi menghadapi angin dari laut.

“Kami berada di kawasan terbuka. Kami tinggal di jalanan, bukan di rumah yang melindungi kami,” kata al-Jamal dipetik dari Al Jazeera.

Laporan pada Rabu itu menyatakan keluarganya tidak mampu membeli kanvas pengganti yang berharga antara 120 hingga 150 shekel di pasaran tempatan.

Bekalan khemah yang dibiayai United Kingdom tiba di Gaza dalam foto arkib 1 Disember 2025. Foto Foreign, Commonwealth & Development Office/Wikimedia Commons
Bekalan khemah yang dibiayai United Kingdom tiba di Gaza dalam foto arkib 1 Disember 2025. Foto Foreign, Commonwealth & Development Office/Wikimedia Commons

Sebelum ini, dalam laporan diterbitkan pada 19 Oktober, OCHA menganggarkan kira-kira 950,000 penduduk tinggal di tapak penempatan berisiko sederhana hingga tinggi mengalami banjir, termasuk lebih 400,000 orang dalam kawasan berisiko tinggi.

Bekalan yang tersedia ketika penilaian itu hanya mampu menyediakan sebahagian bantuan kepada kira-kira 52,000 daripada 294,250 keluarga yang memerlukan bantuan perlindungan musim hujan.

Persediaan menghadapi cuaca buruk berlangsung ketika serangan Israel terus dilaporkan di beberapa kawasan Gaza.

Pada Khamis, dua rakyat Palestin terbunuh dalam serangan dron terhadap sebuah kenderaan berhampiran pintu masuk kem pelarian al-Maghazi di tengah Gaza, menurut sumber perubatan Hospital Syuhada al-Aqsa yang dipetik Anadolu. Beberapa orang turut dilaporkan cedera.

Pada petang yang sama, agensi berita Palestin WAFA melaporkan seorang lagi rakyat Palestin terbunuh apabila dron Israel menyerang sekumpulan penduduk berhampiran Sekolah Zainab al-Wazir, timur Jabalia di utara Gaza.

WAFA turut melaporkan pasukan ambulans dan pertahanan awam masih menghadapi kesukaran mencapai mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan atau berada di jalan raya.

Artikel Berkaitan Terdahulu:

Guterres gesa gencatan senjata kekal dan bantuan besar-besaran ke Gaza

Pelan Gaza, mengapa gencatan senjata belum membawa pemulihan?

Korban Gaza meningkat kepada 74,228, ribuan jasad masih tertimbus

105 jasad ditemukan di bawah runtuhan Gaza, lebih 8,000 lagi dipercayai masih tertimbus

Sekurang-kurangnya lapan maut dalam serangan Israel di Gaza

Imej baharu Google Earth perlihatkan skala kemusnahan Gaza

OCT_Phytoglutide (3)Advertisement