SEBUAH robot unik berkaki 20 yang dibangunkan oleh penyelidik di Amerika Syarikat (AS) berpotensi mengubah pemahaman saintis mengenai reka bentuk robot paling ideal untuk kegunaan masa depan.
Selama beberapa dekad, pembangunan robot banyak dipengaruhi oleh bentuk hidupan di alam semula jadi seperti manusia, anjing, serangga dan kuda.
Namun, kajian terbaharu mendapati reka bentuk robot yang paling berkesan mungkin tidak perlu menyerupai mana-mana makhluk hidup, sebaliknya lebih mirip landak laut.
Robot yang dikenali sebagai Argus itu tidak mempunyai bahagian hadapan atau belakang. Ia dilengkapi 20 kaki teleskopik yang memancar keluar dari badan utama, manakala setiap hujung kaki dipasang kamera kedalaman bagi membolehkannya memantau persekitaran dari pelbagai arah.
Nama Argus diambil sempena watak raksasa bermata banyak dalam mitologi Yunani yang terkenal dengan keupayaan melihat ke semua arah.
Reka bentuk tersebut membolehkan robot berkenaan bergerak ke mana-mana arah tanpa perlu berpusing, mengekalkan kestabilan apabila ditolak, merentasi permukaan tidak rata, membawa muatan sehingga 4.5 kilogram serta memanjat dinding.
Hasil kajian itu diterbitkan dalam jurnal Science Robotics pada 27 Mei lalu oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Duke.
Menurut salah seorang penyelidik, Jiaxun Liu, pergerakan Argus sangat berbeza berbanding robot lain yang pernah dibangunkan sebelum ini.
“Ketika pertama kali melihat Argus bergerak di kawasan dipenuhi pokok dan permukaan tidak rata, termasuk ketika menerima hentaman kuat, kami sedar ia merupakan sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Bagi menghasilkan reka bentuk tersebut, pasukan penyelidik menjalankan lebih 1,500 simulasi melibatkan pelbagai bentuk robot.
Mereka tidak menumpukan kepada persoalan haiwan yang sesuai ditiru, sebaliknya memberi perhatian kepada tahap simetri sesebuah robot dalam semua arah, iaitu konsep matematik yang dikenali sebagai dynamic isotropy.

Konsep itu mengukur keupayaan robot mempercepatkan pergerakan badan secara seimbang ke semua arah pada skala antara sifar hingga satu.
Skor satu menunjukkan robot mampu bergerak dan bertindak balas hampir sama baik tanpa mengira arah.
Pengarah Makmal Robotik Am Universiti Duke, Boyuan Chen berkata, apabila robot mampu bergerak dengan cekap ke semua arah, konsep hadapan, belakang, kiri dan kanan tidak lagi menjadi faktor utama dalam sistem kawalannya.
Menurut beliau, kebanyakan robot moden termasuk robot berkaki empat, robot humanoid dan dron konvensional memperoleh skor di bawah 0.6 kerana masih mempunyai arah pergerakan yang lebih dominan.
Sebaliknya, Argus mencatatkan skor 0.91, hampir menghampiri had maksimum yang boleh dicapai secara teori.
Bagi mencapai prestasi itu, badan Argus direka berasaskan bentuk geometri tiga dimensi dikenali sebagai dodekahedron sekata yang mempunyai 12 permukaan berbentuk pentagon.
Susunan tersebut membolehkan robot memperoleh medan pandangan hampir seragam serta bergerak tanpa perlu mengubah orientasi seperti robot biasa.
Chen berkata, penemuan itu membuktikan robot masa depan tidak semestinya perlu meniru bentuk manusia atau haiwan untuk menjadi lebih tangkas dan cekap.
Sebagai ujian lapangan, Argus diuji di sekitar kampus Universiti Duke merentasi pelbagai jenis permukaan termasuk konkrit, rumput, kawasan semak, pasir lembut, permukaan basah dan kulit pokok.
Robot itu berjaya mengatasi halangan setinggi 12.7 sentimeter, terus beroperasi walaupun tiga kakinya rosak serta mampu menolak sebuah kubus bersaiz satu meter ketika bergerak.
Penyelidik menjelaskan bahawa Argus masih merupakan prototaip dan belum dianggap sebagai reka bentuk robot terbaik secara mutlak.
Seorang lagi penyelidik, Boxi Xia berkata, konsep simetri dinamik bukan sekadar teori, malah telah dibuktikan mampu menghasilkan robot yang boleh beroperasi dalam persekitaran mencabar termasuk kawasan tidak rata, ruang sempit dan persekitaran graviti rendah.
“Pendekatan ini membuka kemungkinan baharu dalam pembangunan robot pada masa hadapan,” katanya.











