KUALA LUMPUR, 23 Oktober 2026 — Waze menafikan dakwaan bahawa aplikasi navigasinya mengumpul maklumat sensitif kerajaan Malaysia atau membolehkan mana-mana entiti mengeksploitasi data peribadi pengguna, lapor Associated Press (AP) pada Khamis.
“Waze beroperasi di bawah dasar privasi ketat yang melindungi data pengguna dan mematuhi piawaian undang-undang perlindungan data global,” kata jurucakap syarikat itu.
Penjelasan itu menyusuli keputusan kerajaan melarang penjawat awam menggunakan Waze semasa menjalankan urusan rasmi. Google membeli Waze pada 2013, menurut laporan sama.
Dalam soalan lazim rasminya, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menjelaskan larangan tersebut terpakai kepada penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi sahaja.
NACSA menyatakan arahan dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara pada Selasa, susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri pada hari sama.
Agensi itu menjelaskan pertimbangan kerajaan merangkumi data lokasi, pergerakan, perjalanan dan maklumat peranti yang dikumpulkan aplikasi, selain terma penggunaan berkaitan undang-undang serta bidang kuasa mahkamah Israel.
Menurut NACSA, pengumpulan data lokasi boleh berlaku walaupun aplikasi tidak digunakan secara aktif, bergantung pada tetapan peranti dan akaun. Data berulang atau berterusan berpotensi mendedahkan corak pergerakan apabila dianalisis secara agregat.
NACSA turut menyatakan tiada bukti Waze menjalankan analisis sedemikian terhadap penggunanya, tetapi kemungkinan data digunakan atau terdedah kepada analisis berkenaan tetap dianggap risiko yang perlu dipertimbangkan.
Sebelum ini, kerajaan menyarankan penggunaan aplikasi alternatif tempatan. NACSA menyenaraikan TuJu dan PINTAZ sebagai pilihan, manakala penjawat awam turut digalakkan menyahpasang Waze daripada peranti masing-masing.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Ingkar larangan Waze ketika urusan rasmi boleh dikenakan tindakan disiplin - MKN
NACSA perinci risiko data lokasi di sebalik larangan Waze
LLM mohon maaf atas gangguan TuJu, kapasiti aplikasi ditingkatkan
Kerajaan saran rakyat beralih daripada Waze, utamakan keselamatan data negara
Penjawat awam dilarang guna Waze, rakyat disaran beralih kepada aplikasi alternatif










