KAJANG, 22 Oktober 2026 — Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memohon maaf atas gangguan teknikal aplikasi navigasi TuJu dan sedang memulihkan kestabilan sistem serta meningkatkan keupayaannya untuk menampung pertambahan pengguna.
LLM bersama penyedia aplikasi, Prosignal Consortium Sdn. Bhd. (PCSB), turut mengenal pasti punca gangguan selepas peningkatan ketara jumlah pengguna, menurut laporan Bernama pada Khamis.
LLM memaklumkan peningkatan pengguna berlaku selepas saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar orang ramai mempertimbangkan aplikasi navigasi tempatan.
Agensi itu memaklumkan, maklum balas mengenai fungsi navigasi, ketepatan maklumat laluan dan pengalaman penggunaan turut diberi perhatian.
“Penambahbaikan akan terus dilaksanakan bagi memastikan TuJu dapat memberikan perkhidmatan yang lebih stabil, tepat, dan mesra pengguna,” menurut LLM.
TuJu diperkenalkan pada 26 November 2025 sebagai aplikasi navigasi lebuh raya yang dibangunkan PCSB dengan kerjasama LLM.
Menurut penerangan pembangun di Google Play, aplikasi itu menyediakan maklumat trafik dan keadaan jalan serta kemudahan sepanjang laluan, termasuk kawasan rehat, stesen minyak dan perkhidmatan kecemasan. Maklumatnya dihimpunkan daripada LLM, pengendali lebuh raya, sumbangan pengguna yang disahkan dan peranti pintar.
Sebelum ini, pemakluman Jabatan Kerja Raya Negeri Pulau Pinang pada Rabu menyatakan larangan Waze dibuat menerusi arahan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bertarikh Selasa, susulan mesyuarat keselamatan siber negara yang dipengerusikan Anwar.
Menurut penjelasan rasmi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), larangan itu terpakai kepada penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi sahaja. Penjawat awam turut digalakkan menyahpasang Waze dan beralih kepada aplikasi navigasi alternatif tempatan.
LLM memaklumkan status pemulihan dan penambahbaikan akan disalurkan melalui saluran rasminya serta TuJu. Aduan atau maklum balas boleh dikemukakan kepada feedback@prosignalconsortium.my.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Kerajaan saran rakyat beralih daripada Waze, utamakan keselamatan data negara
Penjawat awam dilarang guna Waze, rakyat disaran beralih kepada aplikasi alternatif










