CYBERJAYA, 22 Oktober 2026 — Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menyatakan kajiannya pada 1 Ogos mengenal pasti potensi penyalahgunaan data lokasi dan corak pergerakan harian rakyat Malaysia oleh pihak luar menerusi aplikasi navigasi Waze.
Ketua Eksekutif NACSA, Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin menjelaskan penilaian itu dalam taklimat mengenai isu semasa keselamatan negara di Cyberjaya pada Khamis, menurut laporan Bernama.
Megat Zuhairy berkata, pemetaan lokasi, arah perjalanan dan rutin penjawat awam secara terperinci berpotensi dijejak entiti asing serta mengancam keselamatan negara.
Beliau turut menyatakan kemajuan kecerdasan buatan (AI) meningkatkan risiko jika data berkenaan jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.
“Tapi sekiranya data tersebut terdedah atau diperoleh oleh pihak penjenayah, ancamannya pada pandangan saya dengan teknologi AI sekarang amat tinggi,” kata Megat Zuhairy.
Dalam penjelasan rasmi mengenai Waze, NACSA menyatakan kebimbangan kerajaan merangkumi jenis data yang diakses, kebenaran aplikasi, lokasi pemprosesan, bidang kuasa, tempoh penyimpanan, perkongsian dengan pihak ketiga dan kawalan keselamatan penyedia.
Menurut agensi itu, terma penggunaan Waze memperuntukkan pemakaian undang-undang Israel serta bidang kuasa eksklusif mahkamah di daerah Tel Aviv bagi pertikaian berkaitan perkhidmatannya.
NACSA turut menjelaskan, walaupun tiada bukti Waze menjalankan analisis corak pergerakan sedemikian terhadap pengguna, kemungkinan data yang dikumpulkan digunakan atau terdedah kepada analisis berkenaan tetap perlu dipertimbangkan sebagai risiko.
Megat Zuhairy menyarankan semua rakyat Malaysia mengambil langkah proaktif melindungi data peribadi dan menyahpasang Waze.
Sebelum ini, pemakluman rasmi yang disiarkan Jabatan Kerja Raya Negeri Pulau Pinang pada Rabu menyatakan arahan larangan dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerusi surat bertarikh Selasa.
Keputusan itu menyusuli mesyuarat keselamatan siber negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari sama.
NACSA menjelaskan larangan tersebut terpakai kepada penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi sahaja. Mereka turut digalakkan menyahpasang aplikasi berkenaan, dengan agensi itu menyenaraikan TuJu dan PINTAZ sebagai antara alternatif tempatan.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Kerajaan saran rakyat beralih daripada Waze, utamakan keselamatan data negara
Penjawat awam dilarang guna Waze, rakyat disaran beralih kepada aplikasi alternatif










