KUALA LUMPUR, 28 Oktober 2026 — Polis membekukan dan menyita aset bernilai kira-kira RM409 juta dalam siasatan dakwaan kegiatan “mafia korporat” menerusi Op Viking.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu melibatkan lapan hartanah, 11 kenderaan, 417 akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) dan 70 akaun dagangan saham membabitkan kira-kira RM323.59 juta.
Beliau berkata, sebanyak 404 akaun bank yang mengandungi kira-kira RM85.62 juta turut termasuk dalam tindakan berkenaan.
Menurutnya, seramai 70 individu sudah dipanggil untuk dirakam keterangan setakat 25 September.
“Kementerian memberi jaminan bahawa polis kekal komited menjalankan siasatan mengikut undang-undang yang terpakai,” kata Saifuddin.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary mengenai skop dan perkembangan siasatan tersebut.
Sebelum ini, Jemaah Menteri mengarahkan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan kegiatan berkenaan.
Saifuddin berkata, polis turut menahan beberapa individu serta membekukan dan menyita aset yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan yang disiasat.
Beliau berkata, berdasarkan latar belakang dan identiti individu yang dipanggil, tiada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlibat atau dikenal pasti perlu membantu siasatan.
Siasatan Op Viking masih berjalan dan polis sedang melengkapkan kertas siasatan.










