SENI tidak semestinya terhad pada lukisan yang tergantung di dinding galeri. Ia juga boleh hadir melalui kedai kopi lama yang menyimpan kenangan, muzik, rekaan fesyen, seni jalanan dan objek harian yang diberi sentuhan kreatif.
Pendekatan merentas disiplin ini menjadi tarikan A4 Art Fair 2026: The Returning #2 yang bakal berlangsung di GMBB, Kuala Lumpur, pada 6 hingga 8 November.
Memasuki edisi kedua, pameran anjuran A4 Art Gallery itu menghimpunkan lebih 50 artis dan penggiat kreatif dari Malaysia serta negara Asia lain.
Selaras dengan tema The Art of Everything, edisi kali ini menyelitkan unsur nostalgia dan meneroka hubungan seni dengan pengalaman serta kehidupan seharian.
Pengunjung boleh melihat bagaimana perkara biasa di sekeliling diterjemahkan menjadi karya yang membawa cerita dan perspektif tersendiri.
Antara tarikan ialah instalasi Lao Wang yang menghidupkan suasana kopitiam Malaysia era 1980-an, diinspirasikan daripada kenangan membesar di kedai kopi milik datuknya.
Pendekatan berasaskan memori ini memperlihatkan bagaimana pengalaman peribadi menjadi sumber ilham dalam penghasilan seni.
Hubungan seni dengan muzik, fotografi dan budaya jalanan turut diteroka menerusi ruang kreatif yang menggabungkan pengalaman visual dan bunyi, potret Polaroid serta karya berasaskan tipografi dan bentuk geometri.
Kepelbagaian itu menjadikan seni bukan sekadar sesuatu untuk dilihat, tetapi pengalaman yang boleh dinikmati melalui pelbagai deria.
Karakter, fesyen dan eksplorasi kreatif
Bagi peminat seni karakter dan figura koleksi, pameran turut menampilkan figura beruk nakal yang menjadi identiti artis, Abdul Hafiz Abdul Rahman atau Katun, selain karakter berwarna-warni dan rekaan imaginatif yang diterjemahkan dalam bentuk lukisan, arca serta koleksi figura.
Kehadiran karakter seperti Chaigo, anjing biru ciptaan Kenji Chai, memperlihatkan bagaimana watak rekaan boleh berkembang menjadi sebahagian daripada budaya seni koleksi.
Eksplorasi kreatif tidak terhenti pada lukisan dan arca. Fesyen serta reka bentuk menjadi sebahagian daripada pameran menerusi instalasi, teknik jahitan, seni boleh pakai dan penggunaan bahan seperti fabrik serta terazo.
Gabungan itu memperlihatkan bagaimana seni merentas fungsi dan bentuk, daripada pakaian yang digayakan kepada objek yang menghiasi ruang.
Pameran turut membuka ruang kepada perspektif serantau, termasuk penyertaan Mango Art Festival dari Bangkok yang menghimpunkan lapan artis bebas.
Bersama karya artis dari Jepun dan negara Asia lain, pendekatan yang diketengahkan merangkumi cetakan digital abstrak, lukisan serta arca berwarna-warni berinspirasikan imaginasi zaman kanak-kanak.
Pengasas A4 Art Gallery, Ng Si Juan berkata, penganjuran pameran itu bertujuan mencabar tanggapan bahawa seni hanya untuk dipamerkan di dinding galeri atau dimiliki pengumpul.
“Seni sebenarnya sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita, melalui pakaian yang dipakai, muzik yang didengar, objek di sekeliling dan kenangan yang dibawa.
“Kami berharap pengunjung dapat mengenali artis yang mungkin belum pernah mereka temui sebelum ini dan pulang dengan perspektif berbeza tentang seni,” katanya.
Enam kategori utama yang dipaparkan pada poster rasmi ialah Art × Brand, Art × Living, Art × Sustainable, Art × Prints, Art × Artisan & New Media serta Art × Pop & Art Sculpture.
A4 Art Fair 2026: The Returning #2 berlangsung dari 6 hingga 8 November, jam 11 pagi hingga 8 malam, di tingkat lima GMBB, Kuala Lumpur. Maklumat lanjut dan tiket boleh didapati menerusi halaman acara serta akaun media sosial rasmi A4 Art Gallery.










