KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2026 — Sebanyak 9,257 unit produk kesihatan, kosmetik dan barangan berjenama bernilai RM765,750 dirampas dalam serbuan di sebuah premis syarikat kurier di sini pada Isnin.
Operasi pada jam 10.50 pagi itu dijalankan oleh Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, bersama Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Komander WCB/PSK, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, premis kurier dan logistik itu disyaki digunakan untuk menyimpan serta mengedarkan produk kesihatan, kosmetik dan barangan berjenama yang dipercayai tidak mematuhi undang-undang berkaitan.
“Dua lelaki warga asing berusia 23 dan 29 tahun yang dipercayai bekerja sebagai pekerja pembungkusan di premis berkenaan turut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan imigresen,” katanya dalam kenyataan.
Pemeriksaan menemukan 9,130 produk kesihatan dan kosmetik pelbagai jenama yang disyaki tidak berdaftar dengan KKM, selain 127 barangan berjenama yang disyaki menggunakan cap dagangan tiruan.
Produk kesihatan dan kosmetik itu dianggarkan bernilai RM734,000 dan diambil tindakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM. Barangan berjenama yang disyaki tiruan pula bernilai RM31,750 dan diambil tindakan oleh KPDN.
Kes disiasat mengikut Peraturan 7(1)(a) dan Peraturan 18A Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Seksyen 102 Akta Cap Dagangan 2019. Kedua-dua lelaki itu pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Mohd Zaki berkata, sejak 1 Januari hingga Isnin, WCB/PSK melaksanakan 286 serbuan dan menahan 467 individu atas pelbagai kesalahan. Nilai keseluruhan rampasan bagi tempoh itu dianggarkan RM335,963,935.42.










