KUALA LUMPUR, 3 November 2026 — Sebahagian syarikat masih menawarkan gaji permulaan RM1,700 kepada graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) walaupun memiliki kemahiran, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
“Malangnya, sebahagian daripada syarikat ini mahu membayar pelajar TVET dengan kadar gaji pekerja asing,” kata Johari dipetik dari Utusan Malaysia.
Beliau membangkitkan isu itu ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin mengenai kebergantungan industri terhadap pekerja asing.
Johari berkata, pekerja tempatan perlu menanggung kos sewa kediaman, sedangkan kemudahan tempat tinggal lazimnya disediakan untuk pekerja asing.
Menurutnya, tawaran pekerjaan perlu memberikan nilai ekonomi kepada pekerja tempatan. Beliau turut menyatakan masih ada syarikat yang mencatatkan keuntungan RM100 juta tetapi menawarkan gaji permulaan RM1,700, menurut laporan sama.
Johari berkata, gaji median sektor pembuatan kini RM2,775 berbanding sasaran RM4,510 di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan menumpukan transformasi industri sedia ada melalui automasi dan pendigitalan, bukannya memindahkan industri berteknologi rendah ke luar negara.
Beliau berkata, sokongan termasuk geran, dana dan insentif cukai akan disediakan bagi menggalakkan penggunaan teknologi pintar serta automasi.
Sebelum ini, Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyatakan kejayaan institusi TVET perlu dinilai melalui mutu pekerjaan dan gaji setimpal kemahiran, seperti dilaporkan Nusa Times pada 24 Oktober.
Ketua Pengarah MARA, Dr Mahzan Teh ketika itu menyatakan kadar kebolehpasaran graduan TVET agensi berkenaan mencapai antara 97 hingga 99 peratus, namun tumpuan turut diberikan kepada pendapatan mereka.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
MARA mahu graduan TVET raih gaji setimpal kemahiran
Gaji graduan RM2,500 perlu mekanisme jelas
Kerajaan kurangkan kebergantungan pekerja asing secara berperingkat
Pengilang digesa percepat automasi, sasar kurangkan pekerja asing menjelang 2030
Lima petunjuk ekonomi jadi asas penetapan gaji minimum baharu








