KOTA BHARU, 30 Oktober 2026 — Penempatan di kawasan rendah berhampiran lembangan Sungai Kelantan, Sungai Golok dan Sungai Galas dikenal pasti berisiko banjir sepanjang Monsun Timur Laut (MTL), ketika kesiapsiagaan Bomba Kelantan berada pada tahap 90 peratus.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, kawasan penilaian meliputi jajaran tiga sungai itu di kesemua 10 daerah negeri berkenaan.
“Penilaian risiko ini tidak bermakna keseluruhan kawasan di setiap daerah akan terjejas,” kata Farhan Sufyan dipetik dari Bernama pada Jumaat.
Beliau berkata, tumpuan lebih khusus diberikan kepada penempatan berhampiran lembangan sungai dan kawasan rendah. Pemeriksaan peralatan serta aset operasi sedang dijalankan bagi memastikan semuanya berfungsi.
JBPM Kelantan mempunyai 22 balai dengan 663 anggota, disokong 223 anggota bomba bantuan, 16 pasukan bomba sukarela aktif dan 51 pasukan bomba komuniti.
Farhan Sufyan berkata, kekuatan sedia ada tidak mencukupi sekiranya Kelantan mengalami banjir besar seperti pada 2014 dan 2024, khususnya dari segi aset operasi.
Pangkalan hadapan wilayah yang lazimnya ditempatkan di Terengganu akan membantu Kelantan, Terengganu dan Pahang apabila tambahan anggota serta aset diperlukan.
Sebelum ini, JBPM menyediakan 25,592 pegawai dan anggota bersama 1,248 aset di seluruh negara bagi menghadapi MTL 2026/2027 yang dijangka berterusan hingga Mac tahun depan.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Monsun bermula hari ini, 25,592 anggota bomba bersiap siaga
Monsun dijangka lebih awal, pakar UMT ingatkan risiko hujan ekstrem
Bomba Terengganu siap siaga di 460 kawasan berisiko banjir
Pahang agih bekalan ke 167 pangkalan hadapan, sedia lebih RM3.78 juta hadapi monsun










