JOHOR BAHRU, 30 Oktober 2026 — Sebanyak 45,597 warga asing dihantar pulang sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini, membantu mengurangkan kesesakan depoh tahanan, menurut Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, usaha penghantaran pulang akan dipergiatkan di 18 depoh seluruh negara.
Menurut The Star, JIM turut mengendalikan dua depoh sementara dan tujuh pusat Baitul Mahabbah. Kapasiti maksimum gabungan kemudahan berkenaan ialah 21,610 orang.
Antara mekanisme yang digunakan ialah Migrant Optimised Verification and Exit (MOVE) serta Program Repatriasi Migran (PRM). MOVE memudahkan penghantaran pulang warga asing yang selesai menjalani hukuman penjara, dengan tempoh maksimum 10 hari di depoh.
“PRM membolehkan migran tanpa dokumen yang layak pulang secara sukarela ke negara asal tanpa pendakwaan bagi kesalahan imigresen tertentu,” kata Zakaria.
Zakaria berkata, proses boleh tertangguh apabila pengesahan kewarganegaraan dan pengeluaran dokumen perjalanan oleh kedutaan mengambil masa.
Kes individu tanpa kerakyatan, termasuk tahanan Rohingya, menghadapi cabaran tambahan apabila negara berkaitan tidak mengiktiraf kewarganegaraan mereka.
Sebelum ini, Myanmar melaporkan 8,041 warganya dihantar pulang melalui udara dari Malaysia antara Januari hingga akhir Ogos. Angka khusus warga Myanmar itu berasingan daripada jumlah keseluruhan penghantaran pulang yang diumumkan JIM bagi Januari hingga September.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Myanmar lapor 8,041 warganya dihantar pulang dari Malaysia melalui udara
Fasa kedua penghantaran pulang warga Myanmar libatkan 3,524 orang
Imigresen nafi remaja Myanmar dihantar pulang, masih di depot










