KUALA LUMPUR, 29 Oktober 2026 — Kementerian Kesihatan (KKM) merancang memperkenalkan konsep hospital kecil atau “cottage hospital” dengan menaik taraf klinik kesihatan terpilih di pedalaman, termasuk menyediakan wad pemerhatian.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, antara fasiliti dikenal pasti ialah Klinik Kesihatan Tekek di Pulau Tioman, Pahang; Telupid dan Nabawan di Sabah serta Sungai Asap di Sarawak.
Rancangan itu bertujuan mendekatkan rawatan pesakit dalam yang bersesuaian dan mengurangkan perjalanan penduduk ke hospital, menurut laporan Bernama mengenai penggulungan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Rabu.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen KKM untuk membangunkan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih bersepadu, responsif terhadap keperluan setempat dan mapan,” kata Dzulkefly.
Dzulkefly berkata, kementerian turut menilai penstrukturan fasiliti kesihatan primer berdasarkan kepadatan penduduk dan keperluan setempat, termasuk keperluan menaik taraf atau menggabungkan fasiliti.
Dalam perkembangan berkaitan, Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP) dirancang diperluas daripada 14 kepada 16 bidang pada 2027, dengan peruntukan meningkat daripada RM144 juta kepada RM200 juta.
Sebelum ini, pelaksanaan HSOP memanfaatkan kapasiti sektor swasta bagi mengurangkan masa menunggu. Menurut Dzulkefly, tempoh menunggu pembedahan pintasan jantung berkurangan daripada 50 kepada 32 minggu, manakala radioterapi kanser prostat daripada 21 kepada lapan minggu.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
[Belanjawan 2027] KKM diperuntuk RM47.7 bilion, lebih 9,000 doktor kontrak ditawar jawatan tetap










