NAIROBI, 24 Oktober 2026 — Kenya merekodkan kematian kedua akibat Ebola selepas seorang wanita berusia 65 tahun yang merupakan kontak rapat pesakit pertama meninggal dunia pada Jumaat petang.
Kementerian Kesihatan Kenya memaklumkan wanita itu mengalami gejala ketika berada dalam kuarantin, menurut laporan Reuters.
“Kematian ini menjadikan jumlah kematian dua daripada sembilan kes disahkan,” menurut kementerian itu.
Tujuh pesakit lain masih menerima rawatan di dua kemudahan pengasingan. Kementerian menyatakan tiada bukti penularan komuniti setakat kenyataan tersebut.
Sebelum ini, pada Selasa, Ketua Pengarah Kesihatan Kenya, Dr Patrick Amoth memaklumkan sembilan kes yang disahkan berada dalam satu kelompok, menurut laporan Reuters pada 20 Oktober.
Kes pertama melibatkan seorang lelaki yang mempunyai sejarah perjalanan dari Republik Demokratik Congo. Beliau meninggal dunia di Nairobi pada 5 Oktober.
Dalam kenyataan berasingan CARE pada Jumaat, Pengarah CARE Kenya, Getrude Misango menggesa penyelarasan rapat dengan negara jiran untuk membendung penularan dan mengelakkan tekanan tambahan terhadap perkhidmatan kesihatan.
CARE berkata, pasukannya di Kenya dan Nigeria bersedia menyokong usaha kesiapsiagaan serta tindak balas yang diterajui kerajaan bersama organisasi tempatan, komuniti dan pihak berkuasa kesihatan.
Organisasi itu turut menyeru pelaburan segera dalam petugas barisan hadapan, pemantauan penyakit, sistem amaran awal, bekalan air selamat dan sanitasi, selain perkhidmatan yang melindungi mata pencarian keluarga terjejas.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Kenya sahkan kes Ebola kedua, pesakit ialah ahli keluarga kes pertama










