RAWALPINDI, 30 Oktober 2026 — Seramai 130 rakyat Malaysia dilaporkan ditahan selepas pihak berkuasa Pakistan menyerbu sebuah pusat penipuan dalam talian yang disyaki menyasarkan mangsa di Malaysia.
Portal ProPakistani, yang memetik rekod kes Agensi Siasatan Jenayah Siber Kebangsaan Pakistan (NCCIA), melaporkan serbuan dibuat di KASA Tower, Bahria Town Fasa VIII selepas waran mahkamah diperoleh.
Menurut laporan itu, individu di premis berkenaan disyaki menghubungi mangsa melalui aplikasi panggilan internet dengan menyamar sebagai pegawai khidmat pelanggan bank. Mangsa dimaklumkan kononnya terdapat transaksi mencurigakan dalam akaun mereka.
Panggilan kemudian didakwa disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai polis Malaysia. Sebahagian suspek disyaki memakai pakaian seragam polis serta menggunakan latar seperti pejabat semasa panggilan video.
Mangsa didakwa diugut dengan kes pengubahan wang haram atau tindakan jenayah sebelum didesak memindahkan wang. Hasil penipuan disyaki diterima melalui Touch ’n Go eWallet dan ditukar kepada mata wang kripto.
ProPakistani melaporkan seorang rakyat Malaysia yang beroperasi dari Kemboja disyaki mengarahkan rangkaian itu, dengan bantuan penyelia serta pengurus pusat panggilan di Pakistan. Penyiasat turut meneliti peranan pengendali transaksi kewangan.
Menurut The Sun, status imigresen dan penglibatan setiap tahanan masih disiasat. Jumlah kerugian, bilangan mangsa yang disahkan dan nilai aset dirampas belum didedahkan.
Sebelum ini, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour memaklumkan pada 24 Oktober bahawa kerugian penipuan dalam talian di Malaysia menghampiri RM3 bilion pada 2025.
“Apabila didesak untuk bertindak segera, berhenti seketika. Semak melalui saluran rasmi sebelum berkongsi maklumat atau memindahkan wang,” kata Abdul Rasheed dipetik dari RTM ketika merasmikan Karnival Celik Kewangan Selangor 2026.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Kerugian penipuan dalam talian hampir RM3 bilion pada 2025
Bank dan PayNet sasar amaran penipuan sebelum transaksi, ujian rintis pada 2027
Pusat peranginan terbiar jadi 'call centre' scam, 98 individu ditahan
Sewa empat unit kediaman mewah untuk kegiatan penipuan pelaburan










