Nusa Times BACA. FIKIR. BERSUARA.
OCT_Phytoglutide (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement
OCT_Dybesol (2) wellnes promo
OCT_Femiluv (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement

Sewa empat unit kediaman mewah untuk kegiatan penipuan pelaburan

JIM menahan 20 warga asing dalam serbuan di empat unit kediaman mewah di Pudu yang disyaki dijadikan pusat penipuan pelaburan.

A
Aim Wartawan Senior
October 29, 2026 • 5:37 AM 2 min read • 23 views
Sewa empat unit kediaman mewah untuk kegiatan penipuan pelaburan

Antara individu yang ditahan dalam serbuan JIM di Pudu pada Selasa. Foto JIM

KUALA LUMPUR, 29 Oktober 2026 — Sindiket penipuan pelaburan yang dipercayai menjadikan empat unit kediaman mewah di Jalan San Peng, Pudu di sini sebagai pusat operasi terbongkar selepas 20 warga asing ditahan dalam serbuan pada Selasa.

Dalam operasi khas kira-kira jam 11.45 pagi itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) merampas 45 telefon bimbit, lapan komputer meja, tiga komputer riba serta pelbagai peralatan komunikasi yang dipercayai digunakan sindiket.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dijalankan hasil maklumat awam dan risikan selama dua minggu.

OCT_Aphrodax (2)
OSTEOK 1
SponsoredAdvertisement

Seramai 17 lelaki dan tiga wanita berusia antara 23 hingga 43 tahun ditahan. Mereka terdiri daripada lima lelaki Taiwan, empat lelaki China, empat lelaki dan seorang wanita India serta empat lelaki dan dua wanita Thailand.

Zakaria berkata, pihaknya turut menyita 11 pasport, lima penghala internet, empat radio komunikasi, kad akses, skrip penipuan dalam bahasa Thailand dan pelbagai ubat-ubatan yang dipercayai dibawa dari luar negara.

Pegawai menjalankan pemeriksaan di premis yang dilengkapi komputer
Pemeriksaan di premis yang dipercayai digunakan sebagai pusat operasi penipuan pelaburan. Foto JIM

Turut disita ialah wang tunai RM5,370 serta mata wang asing berjumlah 1,400 kyat Myanmar, 36,000 riel Kemboja, 4.28 juta dong Vietnam dan 31,000 dolar Taiwan.

Menurut Zakaria, sindiket dipercayai menyewa kediaman mewah sebagai pusat operasi untuk mengelakkan kegiatannya dikesan pihak berkuasa.

“Sindiket itu dipercayai dikendalikan kumpulan operator terdiri daripada warga China, Taiwan, Thailand dan India yang menyasarkan mangsa mengikut negara tertentu, termasuk Thailand, India, Taiwan dan Jepun,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Siasatan awal mendapati pekerja warga asing terbabit tidak dibenarkan keluar secara bebas dari premis. Bekalan makanan pula dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan.

Sindiket dipercayai mula beroperasi sejak sebulan lalu dan menjalankan kegiatan dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

Individu yang ditahan dibawa keluar dari premis
Antara individu yang ditahan dalam serbuan di Pudu pada Selasa. Foto JIM

Zakaria berkata, tiga lelaki masing-masing warga China, India dan Taiwan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

Tiga lelaki China pula disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama. Tiga lelaki dan seorang wanita India serta tiga lelaki dan seorang wanita Thailand disyaki melanggar Seksyen 6(1)(c).

Warga asing lain yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Kesemua mereka dibawa ke pejabat imigresen untuk siasatan lanjut.

Sebelum ini, JIM menahan 98 individu selepas menyerbu sebuah pusat peranginan terbiar di Sungai Lembing, Pahang yang dipercayai dijadikan pusat panggilan penipuan. Operasi berasingan itu dilaporkan Nusa Times pada 6 Oktober.

Artikel Berkaitan Terdahulu:

Pusat peranginan terbiar jadi 'call centre' scam, 98 individu ditahan

OCT_Phytoglutide (3)Advertisement