CEBU, 29 Oktober 2026 — Australia menyifatkan pembesaran ketenteraan China sebagai faktor yang mewujudkan tekanan di Asia Tenggara, sambil menggesa sekutu dan rakan serantau memperkukuh kerjasama keselamatan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles menyampaikan pendirian itu kepada pemberita di sini pada Khamis ketika menghadiri forum Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) bersama rakan dialog, iaitu Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus).
“Tidak ada penjelasan daripada China mengapa ia berbuat demikian, dan semua itu mewujudkan keadaan tertekan,” kata Marles dipetik dari AFP menerusi CNA.
Marles menyifatkan perkembangan itu sebagai pembesaran ketenteraan konvensional terbesar sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua dan berkata, Australia bergantung pada aturan antarabangsa berasaskan peraturan.
Dalam transkrip rasmi sidang media, beliau menegaskan kepentingan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), kebebasan pelayaran dan kelancaran perdagangan.
Marles berkata, sebahagian besar perdagangan Australia melalui Laut China Selatan, menjadikan keselamatan laluan berkenaan penting kepada ekonomi dan kepentingan negaranya.
Beliau turut mengesahkan pertemuan empat hala Australia, Filipina, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) pada Rabu. Kumpulan tidak rasmi itu dikenali sebagai “Squad”.
Menurutnya, perbincangan meliputi kerjasama operasi, pelaburan bersama dalam infrastruktur di Filipina dan penyelarasan lebih erat antara pakar dasar pertahanan.
Sebelum ini, kumpulan empat negara berkenaan turut bertemu ketika ADMM-Plus di Kuala Lumpur tahun lalu, menurut transkrip sama.
Marles berkata, hubungan pertahanan Australia dengan negara serantau berkembang, termasuk kerjasama bersama Malaysia dan Singapura melalui Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA).
Beliau turut menegaskan peranan utama ASEAN dalam keamanan serta kestabilan serantau dan menyifatkan kedudukan ASEAN itu sebagai penting kepada kepentingan Australia.
Filipina, yang menjadi tuan rumah pertemuan, berdepan pertikaian berpanjangan dengan China di Laut China Selatan. Menurut laporan AFP, Manila memaklumkan awal bulan ini bahawa kehadiran tentera dan pengawal pantai China di kawasan dipertikaikan hampir berganda pada September.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
AS cadang kerangka kerjasama pertahanan baharu bersama ASEAN
Filipina panggil duta China, bantah kenyataan dianggap mengancam
Filipina bantah kenyataan duta China, Marcos mahu penjelasan










