TEXAS, 28 Oktober 2026 — Pemain posisi jungler Team Secret Whales (TSW), Lê “Hizto” Văn Hoàng Hải mengakui kecewa apabila pasukannya tersingkir awal daripada Kejohanan Dunia League of Legends (Worlds 2026) selepas tewas kepada LOS dalam perlawanan penentuan peringkat Swiss.
TSW menjadi pasukan pertama tersingkir daripada peringkat itu tanpa meraih kemenangan, selepas menjuarai tiga saingan berturut-turut dalam League of Legends Championship Pacific (LCP).
“Saya merasakan segala yang saya bina sepanjang tahun ini musnah begitu sahaja.
“Saya sangat kecewa dengan diri sendiri. Sekiranya kami masih bersama pada tahun depan, saya berharap saya dan rakan sepasukan dapat memperbaiki masalah yang ada,” kata Hizto dipetik dari Sheep Esports.
Hizto berkata, pasukannya menghadapi masalah serius dari segi kemahiran permainan dan mentaliti yang tidak dapat diselesaikan sebelum perlawanan menentang LOS.
Menurutnya, TSW berdepan kesukaran pada awal permainan dan gagal memperoleh kelebihan yang mencukupi ketika memasuki pertengahan permainan.
Sebelum ini, TSW turut menamatkan kempen First Stand tanpa kemenangan. Bagaimanapun, pasukan itu mencatat perkembangan lebih baik pada Mid-Season Invitational (MSI) apabila menewaskan pasukan dari League of Legends Pro League (LPL).
Mengulas perancangan musim depan, Hizto berkata, dia mahu menumpukan usaha memperbaiki prestasi pasukan untuk menghadapi lawan antarabangsa, tanpa terlalu memikirkan perubahan format LCP pada 2027.
Hizto turut berpandangan pemilihan watak selepas Vi dalam permainan kedua menentang LOS sepatutnya tidak melibatkan watak jarak dekat seperti Jax dan Locke. Namun, dia menegaskan tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak berhubung strategi pemilihan dan larangan watak.
“Kami menganggap setiap kejohanan antarabangsa sebagai pengajaran untuk membantu kami berkembang.
“Bagi masa depan TSW, saya rasa kami masih berusaha sedaya upaya untuk menjadi lebih baik setiap hari,” katanya.
Artikel Berkaitan Terdahulu:










