KUCHING, 31 Oktober 2026 — Sebanyak 808 penyertaan disasarkan menerusi enam kategori pertandingan yang menawarkan hadiah keseluruhan RM50,000 sempena penganjuran Ekspo e-Sukan Sarawak 2026 (SAREX26) edisi keempat, dari 13 hingga 15 November ini.
Ekspo itu akan berlangsung di Sarawak Sports Village, Kompleks Sukan Sarawak, dari 13 hingga 15 November ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), setakat ini seramai 600 peserta sudah mendaftar dan jumlah itu dijangka terus meningkat menjelang acara berkenaan.
“Saya fikir hanya menunggu masa sebelum jumlah itu mencapai 800 peserta dan tidak akan terkejut sekiranya jumlah peserta atau pengunjung yang hadir melebihi sasaran itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media SAREX26 di Bangunan Baitulmakmur II di sini pada Jumaat.
Abdul Karim berkata, penganjuran SAREX yang memasuki tahun keempat itu membuktikan industri e-sukan semakin berkembang dan mendapat tempat dalam kalangan golongan belia, bukan sahaja di Sarawak malah di peringkat global.
"Ekspo berkenaan bukan hanya berteraskan pertandingan, sebaliknya turut berperanan sebagai platform mempertemukan pelbagai sektor termasuk sukan, pembangunan belia, pelancongan, teknologi, industri kreatif, keusahawanan dan perniagaan," katanya.
Enam kategori pertandingan yang dipertandingkan ialah PUBG MOBILE Terbuka dengan sasaran 320 peserta atau 64 pasukan, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Lelaki membabitkan 192 peserta atau 32 pasukan serta MLBB Wanita dengan 72 peserta atau 12 pasukan.
Turut dipertandingkan ialah simulasi perlumbaan terbuka menggunakan permainan Assetto Corsa dengan sasaran 80 peserta, Tekken 8 Terbuka (64 peserta) dan eFootball Terbuka (80 peserta).
Selain pertandingan, SAREX26 turut menyediakan bengkel e-sukan yang menyasarkan penyertaan 100 peserta bagi meningkatkan pengetahuan mengenai persediaan dan pengendalian kejohanan.
Antara aspek yang akan diberi perhatian termasuk keperluan teknikal, pentadbiran pertandingan, penyiaran dan pengurusan acara.
Bengkel itu bakal menampilkan beberapa penceramah termasuk Profesor Madya Ts. Dr. Yew Weng Kean, atlet e-sukan Malaysia pertama meraih pingat emas Sukan Asia Tenggara (SEA) pada 2019, serta Naib Presiden II Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Muhammad Faries Faizal Shamsul.
Ekspo berkenaan turut mengadakan forum yang menghimpunkan barisan tokoh industri antarabangsa termasuk Setiausaha Agung Persekutuan Sukan Elektronik Antarabangsa (IESF), Boban Totovski; Pengarah Media IESF, Laura Elizabeth serta Presiden Persekutuan Esports Asia Tenggara dan Persekutuan Esports Vietnam, Hung Do Viet.
Turut menyertai forum berkenaan ialah Ahli Lembaga Persekutuan Esports Rusia, Konstantin Sukhon; Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kin Global, Vincent Chai serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Azlan Sharom.
Dalam pada itu, kira-kira 10 ruang pameran disediakan bagi mengetengahkan perniagaan permainan digital, syarikat teknologi, agensi kerajaan, institusi pendidikan serta penggiat industri berkaitan.
Sebelum ini, SESA melaksanakan program PUBG MOBILE OOOHAAA Sarawak bersama Tencent Games yang merekodkan 3,322 penyertaan di seluruh negeri, menurut UKAS.
Abdul Karim berkata, Persatuan E-sukan Sarawak (SESA) sebelum ini turut giat membina jaringan kerjasama dengan pemain industri menerusi pelbagai inisiatif pembangunan komuniti e-sukan tempatan.
"Usaha berkenaan berjaya melibatkan lebih 3,000 individu dari seluruh Sarawak dan pihak penganjur menjangkakan sebahagian daripada mereka akan turut memeriahkan SAREX26.
"Saya berharap penganjuran ekspo itu dapat menarik lebih ramai peminat e-sukan dari dalam dan luar Sarawak, sekali gus membuka peluang lebih luas untuk memperkukuh ekosistem industri berkenaan di negeri ini," katanya.










