FILIPINA, 31 Oktober 2026 — Kerjasama Visa dan MOONTON Games menyaksikan penganjuran Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL) Filipina Musim Ke-18 menarik keseluruhan 20,000 peminat secara fizikal sepanjang musim serta lebih 1.49 juta penonton serentak pada waktu puncak.
Menurut kenyataan MOONTON Games berdasarkan data Esports Charts, kejohanan utama peringkat domestik Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) itu berlangsung selama dua bulan dan mencatatkan jumlah penonton serentak tertinggi (Peak Concurrent Viewers, PCV) melebihi 1.49 juta.
Kerjasama itu menyusuli pengumuman pelantikan Visa sebagai Rakan Pembayaran Global bagi tiga edisi seterusnya siri M, bermula dengan Kejohanan Dunia M8 pada 2027 hingga Kejohanan Dunia M10 pada 2029.
Siri M merupakan pertandingan antarabangsa utama MLBB dan mencatatkan rekod sebagai kejohanan e-sukan mudah alih paling banyak ditonton dalam sejarah, dengan 5.68 juta penonton serentak pada waktu puncak.
Kerjasama yang diperluas itu turut menyokong strategi pengembangan global MLBB Esports, dengan memanfaatkan rangkaian pembayaran antarabangsa Visa.
Sepanjang MPL Filipina Musim Ke-18, kedua-dua pihak bekerjasama menyediakan pelbagai pengalaman eksklusif, aktiviti istimewa dan peluang interaksi kepada peminat, sekali gus mendekatkan mereka dengan pasukan, pemain, pencipta kandungan serta komuniti yang membentuk ekosistem e-sukan berkenaan.
Ketua Pemasaran Visa Filipina, Nico Leviste berkata, kejayaan MPL Filipina Musim Ke-18 membuktikan sokongan kukuh komuniti e-sukan di negara itu.
"Kerjasama yang diteruskan bersama MOONTON Games bukan sahaja mengeratkan hubungan dengan peminat, malah menawarkan pengalaman berbeza melalui gabungan elemen budaya dan perdagangan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pembangunan Perniagaan E-sukan MOONTON Games Filipina, Lee Viloria berkata, kolaborasi berkenaan membuka lebih banyak peluang kepada peminat untuk berinteraksi dengan pasukan dan pemain pilihan mereka, selain mengetengahkan bakat baharu.
"Usaha itu dapat memperkukuh perkembangan MLBB serta memberikan pengalaman lebih bermakna kepada komuniti permainan berkenaan di Filipina dan peringkat antarabangsa," ujarnya.
Artikel Berkaitan Terdahulu:










