BAITULMAQDIS, 29 Oktober 2026 — Gabungan parti majoriti Arab, Joint List menyatakan kesediaan bekerjasama membantu menyingkirkan kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu selepas keputusan sementara pilihan raya menunjukkan kedua-dua blok utama gagal memperoleh majoriti.
Dalam kenyataan pada Rabu, gabungan itu menyatakan kesediaan menyokong pembentukan kerajaan alternatif yang membawa perubahan terhadap dasar kerajaan semasa.
“Kami bersedia untuk kerjasama politik bagi menubuhkan kerajaan alternatif, yang akan menawarkan pilihan sebenar dan komited kepada perubahan sebenar terhadap dasar perkauman kerajaan semasa,” kata Joint List dipetik dari The Times of Israel.
Pengerusi Joint List, Yousef Jabareen berkata, pihak yang mahu menawarkan alternatif kepada Netanyahu perlu berbincang dengan gabungan itu bagi membuka jalan kepada perubahan politik.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kesediaan membantu pembangkang tidak bermaksud Joint List akan menyertai kerajaan secara langsung.
“Namun, dengan tujuan menjatuhkan kerajaan ini, kami boleh menyokong kerajaan alternatif dari luar gabungan,” kata Jabareen dipetik dari AFP melalui LBCI.
Beliau menyebut perang yang berterusan di Gaza serta penempatan Israel di Tebing Barat sebagai antara isu yang menghalang penyertaan Joint List dalam kerajaan dalam keadaan politik semasa.
Berdasarkan pengiraan sementara yang dilaporkan awal Khamis, blok Netanyahu diunjurkan memperoleh 53 kerusi, manakala blok pembangkang pimpinan bekas ketua tentera Israel, Gadi Eisenkot memperoleh 48 kerusi.
Parti Arab pula diunjurkan meraih keseluruhan 19 kerusi. Sebanyak 61 daripada 120 kerusi Knesset diperlukan untuk memperoleh majoriti, sementara pengiraan undi khas masih diteruskan, menurut The Jerusalem Post.
Joint List diunjurkan memenangi 12 kerusi dan Ra’am tujuh kerusi, berbanding keseluruhan 10 kerusi yang dimiliki kedua-duanya selepas pilihan raya 2022, menurut Anadolu.
Namun, kerjasama dengan pembangkang masih berdepan halangan apabila kebanyakan parti pembangkang pimpinan Yahudi menolak perkongsian kerajaan dengan Joint List, menurut The Times of Israel.
Dalam perkembangan berkaitan, wakil parti Eisenkot, parti pimpinan bekas Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett serta parti Yisrael Beytenu pimpinan Avigdor Liberman dilaporkan membincangkan langkah bersama menggantikan Speaker Knesset, Amir Ohana daripada Likud.
Menurut Ynet, usaha itu memerlukan sokongan parti Arab apabila Knesset baharu mengangkat sumpah pada 10 November.
Presiden Israel, Isaac Herzog sebelum ini menggesa pemimpin parti mendekati rundingan pembentukan kerajaan dengan fikiran terbuka dan melakukan segala yang mungkin untuk mengelakkan pilihan raya berulang, menurut The Jerusalem Post.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Parti Arab 'kingmaker' tentukan kerajaan Israel
Likud dakwa pilihan raya ‘dicuri’ parti Arab, polis kata tiada bukti menyokong dakwaan
Blok Netanyahu diunjur raih 54 kerusi, Israel berdepan kebuntuan kerajaan










