WASHINGTON, 30 Oktober 2026 — Panglima Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM), Laksamana Brad Cooper dilaporkan membentangkan pilihan ketenteraan terhadap Iran kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, ketika Washington mempertimbangkan penyambungan operasi tempur besar-besaran.
Taklimat itu berlangsung dalam pertemuan bersemuka di White House pada Khamis, menurut The Wall Street Journal, yang memetik pegawai AS dan individu yang mengetahui pertemuan berkenaan.
Pembentangan tersebut menyusul persediaan ketenteraan bagi kemungkinan serangan baharu selepas pilihan raya pertengahan penggal AS pada 3 November. Bagaimanapun, laporan mengenai pertemuan itu belum mengesahkan bahawa Trump telah memberikan arahan muktamad untuk menyerang.
Menurut Al-Monitor, CENTCOM sudah menyerahkan rancangan untuk menyambung dan meningkatkan serangan terhadap Iran kepada White House pada awal Oktober.
Persediaan tersebut turut mendapat kritikan Senator Demokrat dari Connecticut, Chris Murphy, yang berkata beliau sebelum ini menerima taklimat mengenai sebahagian perancangan sulit itu.
“Rancangan mereka tidak masuk akal,” kata Murphy dipetik dari The Wall Street Journal.
Sebelum ini, ABC News melaporkan pegawai kanan pentadbiran dan pertahanan menyediakan beberapa pilihan untuk dipertimbangkan Trump, termasuk penggunaan bom GBU-43/B Massive Ordnance Air Blast (MOAB), yang dikenali sebagai “Mother of All Bombs”.
Laporan bertarikh 15 Oktober itu menyatakan Trump belum membuat keputusan ketika berkenaan. MOAB ialah senjata konvensional, bukannya bom nuklear.
CNN pula melaporkan pada pertengahan Oktober bahawa pilihan penggunaan MOAB dibincangkan dalam perancangan serangan terhadap infrastruktur tenaga dan tapak nuklear Iran, sekiranya Trump mengarahkan operasi tempur disambung.
White House sebelum ini enggan mengulas butiran rancangan ketenteraan apabila ditanya mengenai pilihan serangan tersebut.
“Kami tidak mengulas rancangan ketenteraan sensitif yang mungkin wujud atau tidak wujud,” kata seorang pegawai White House dipetik dari ABC News.
Pegawai itu berkata, Trump mengekalkan semua pilihan bagi memastikan Iran tidak memperoleh senjata nuklear.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Hegseth pecat perancang kanan Pentagon ketika Trump timbang serangan baharu ke atas Iran
AS beri amaran kepada negara Teluk, bersedia perang Iran bersambung










