KUALA LUMPUR, 20 Oktober 2026 — Kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan Peguam Negara bagi menyiasat jenayah korporat, dengan tempoh tiga bulan diberikan untuk menyediakan laporan penuh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bank Negara Malaysia (BNM) serta agensi berkaitan.
Menurutnya, penubuhan jawatankuasa berkenaan mengambil kira kerumitan jenayah korporat yang merentasi bidang kuasa pelbagai agensi penguat kuasa.
“Jawatankuasa ini yang akan dianggotai oleh PDRM, SC, BNM dan lain-lain agensi berkaitan akan diberikan tempoh 3 bulan untuk menjalankan siasatan dan menyediakan laporan penuh terkait jenayah korporat,” kata Anwar dalam teks jawapannya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, Selasa.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun mengenai perkembangan dakwaan kegiatan “mafia korporat” serta tindakan yang telah diambil.
Anwar berkata, kegiatan jenayah korporat antaranya melibatkan pembelian dan penguasaan syarikat tersenarai serta syarikat persendirian, manipulasi pasaran saham, pelanggaran kewajipan pendedahan korporat dan aktiviti pinjaman wang haram berserta ugutan.
Dalam pasaran modal, beliau memaklumkan SC memulakan 239 pertuduhan jenayah terhadap 50 individu atau entiti sepanjang 2022 hingga September 2026.
Angka itu berbanding 76 pertuduhan terhadap 33 individu atau entiti bagi tempoh 2017 hingga 2021. Tindakan sivil turut meningkat daripada 23 kepada 37 bagi kedua-dua tempoh berkenaan.
“Maka, adalah tidak berasas untuk memberi gambaran bahawa penguatkuasaan tidak berjalan. Pendirian kita tegas: tidak ada kompromi terhadap jenayah korporat. Pasaran modal mesti beroperasi dengan teratur dan pelabur mesti dilindungi,” katanya.
Mengenai kes penyalahgunaan kuasa yang menyebabkan tekanan terhadap ahli perniagaan untuk menjual saham pada harga rendah, Anwar berkata, PDRM menjalankan Op Viking susulan maklumat dan risikan berkaitan pengubahan wang haram yang bermula sejak 2018.
Beliau berkata, setakat 25 September 2026, seramai 70 individu dipanggil untuk dirakam keterangan dalam siasatan itu.
Tindakan pembekuan dan penyitaan turut melibatkan lapan bidang hartanah, 11 kenderaan, 417 akaun Sistem Depositori Pusat (CDS), 70 akaun dagangan saham berjumlah kira-kira RM323.59 juta serta 404 akaun bank berjumlah kira-kira RM85.62 juta, menurut jawapan tersebut.
Anwar turut memaklumkan statistik penguatkuasaan berkaitan pengubahan wang haram oleh PDRM pada 2026 merangkumi pembekuan RM4.3 bilion, penyitaan RM1 bilion, pelucuthakan RM48 juta dan kompaun RM1.1 bilion.
Jumlah itu tidak termasuk lebih RM3 bilion yang masih dalam proses perbicaraan mahkamah untuk dilucuthakkan kepada kerajaan.
Beliau berkata, dana hasil haram, rasuah dan penyelewengan yang dirampas menerusi keputusan badan kehakiman akan dipulangkan kepada rakyat, terutama bagi memperkukuh sektor pendidikan dan kesihatan awam.










