KUALA LUMPUR, 3 Oktober 2026 — Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan kisah cintanya bersama bakal isteri, Bella Astillah tidak layak dibandingkan dengan perjalanan hidup bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohamad Ali.
Menurut Syed Saddiq, 34, pandangan yang menyamakan kisah mereka itu dilihat sangat janggal kerana perbandingan tersebut terlalu jauh, memandangkan dia dan Bella baru sahaja hendak memulakan kehidupan sebagai suami isteri.
“Saya rasa kami tidak layak untuk dibandingkan dengan Allahyarhamah dan Tun Dr Mahathir. Tidak dekat pun, malah tidak sampai satu peratus kerana kalau kita lihat jasa dan perjalanan mereka, ia memang luar biasa.
“Jadi, sejujurnya, bagi mereka yang berkongsikan perkara ini, saya tahu ia datang daripada niat yang baik. Tetapi jawapan kami, kita tidak layak untuk disamakan kerana mereka jauh lebih ke hadapan daripada kami. Saya tahu mungkin ada yang kata bukan daripada sudut sumbangan kepada negara, tetapi daripada sudut cinta. Itu pun saya rasa kami tidak layak,” kata Syed Saddiq.
Syed Saddiq berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq yang berlangsung di Kuala Lumpur pada petang Jumaat, seperti turut dilaporkan Gempak.
Bagi Syed Saddiq, mereka masih di permulaan sebuah perjalanan yang panjang sebagai pasangan, berbanding Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Hasmah yang telah melalui kira-kira tujuh dekad kehidupan bersama.
“Kami ini baru hendak berkahwin dan menghalalkan hubungan. Mereka pula sudah 70 tahun meraikan cinta dan kebijaksanaan bersama. Kami belum sampai pun 25 tahun, baru hendak membuka bab atau buku yang pertama.
“Kalau kita ibaratkan seperti sebuah buku, kami baru hendak menulis muka surat pertama. Mereka bukan sekadar menulis muka surat pertama, mungkin mereka sudah mempunyai perpustakaan sendiri yang boleh berkongsikan kisah cinta mereka. Bukan satu buku, tetapi sudah beribu-ribu buku,” katanya.
Ambil Inspirasi
Walaupun tidak melihat diri mereka setanding pasangan tersebut, Syed Saddiq mengakui hubungan rapat dengan Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Hasmah memberi ruang untuk dia dan Bella belajar daripada pengalaman pasangan itu.
Menurutnya, apa yang dilalui kedua-dua negarawan berkenaan boleh menjadi sumber inspirasi, khususnya dalam membina kehidupan bersama selepas bergelar suami isteri.
“Ini sesuatu yang sangat peribadi kerana saya tahu dan kami juga sangat dekat dengan mereka.
“Kami tahu betapa jauh lebih banyak pengalaman dan perjalanan yang mereka lalui berbanding kami. Apa yang kami boleh lakukan adalah mendapatkan sedikit sebanyak inspirasi daripada mereka.
“Walaupun dalam perkara yang paling kecil, jika kami dapat mengambil walaupun satu peratus daripada kebaikan dan jasa yang mereka sumbangkan, itu pun sudah menjadi satu nikmat yang luar biasa,” katanya.
Menurut laporan The Star, Syed Saddiq dan Bella bakal disatukan sebagai pasangan suami isteri pada 10 Oktober ini, manakala majlis resepsi pasangan ini yang turut disebut sebagai 'Kenduri Rakyat' dijadualkan berlangsung di Muar, Johor pada 25 Oktober, diikuti Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober.
Sebelum ini, pasangan itu mengumumkan tarikh pernikahan pada 18 Ogos 2026 menerusi program MeleTOP. Majlis pernikahan dijadualkan berlangsung di Menara Merdeka Maybank, Kuala Lumpur.
Artikel Berkaitan Terdahulu:







