JIKA sebut sahaja sniper tentu sahaja bayangan yang muncul difikiran adalah mengenai seorang individu yang terpilih dengan kemahiran menjejak sasaran serta melaksanakan tembakan dari jarak jauh yang begitu mengkagumkan.
Bekas jurulatih sniper Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mejar Mohd Fitri Shuib, 49, mendedahkan bahawa menjadi seorang sniper bukanlah satu perkara mudah.
"Latihan yang harus dilalui oleh seorang askar untuk menjadikan dirinya diiktiraf sebagai layak memakai lencana sniper adalah diperakui sesuatu yang amat sukar," katanya ketika ditemui di sebuah hotel di Ampang.
Mohd Fitri mengimbau kembali detik awal beliau menjadi seorang Sniper pada 2005.
"Saya secara sukarela memohon untuk menyertai kursus Sniper berbanding orang lain yang terpilih menyertai kursus tersebut," katanya.
Beliau berkata, seramai 40 askar pelbagai pangkat dicalonkan dalam kursus itu, namun yang layak meneruskan kursus itu selepas tempoh seminggu hanya 21 orang.
"Daripada 21 orang itu, hanya saya seorang saya yang lulus dalam kursus tersebut," katanya.
Menurutnya, sikap sabar perlu ada untuk menjadi seorang sniper yang terbaik.
"Perkara kedua adalah cepat belajar serta latihan yang berterusan. Sniper adalah aset negara yang dilatih untuk menghancurkan sasaran terpilih seperti sasaran berprofail tinggi," katanya.
Mohd Fitri berkata, perbezaan sniper dan marksman adalah seorang marksman (penembak tepat) dilatih menembak di lapang sasar dalam keadaan tenang dan tersusun serta jarak tembakan yang dekat.
"Sniper pula mampu menembak sejauh 600 meter sehingga 1,500 meter dalam keadaan muka bumi tidak menentu, tidak selesa, tidak kira dari atas bukit, dalam longkang, dalam paya, serta dicelah pokok tanpa dikesan, tanpa bukti dan tanpa saksi," katanya.
Menurutnya, seorang sniper, selain dari kemahiran untuk menjadi seorang ‘halimunan’ dari pandangan musuh, sniper juga perlu mahir dalam melaksanakan perkiraan keadaan yang tepat, membaca arah angin dan keadaan cuaca.
"Kita perlu melaksanakan penyamaran yang amat baik serta mampu bertahan daripada tekanan, sistem dan kelengkapan terkini dapat membantu seorang sniper menjadikan tugasnya lebih mudah serta efektif," katanya.

Terlibat dalam 13 operasi ketenteraan
Mohd Fitri berkata, beliau telah terlibat dalam 13 operasi di Malaysia.
"Operasi pertama saya adalah Ops Gubir di Kedah, saya sudah empat kali terlibat dalam operasi itu, selain itu saya terlibat dalam Ops Pagar di Bukit Kayu Hitam, Kedah.
"Saya juga turut ditugaskan menentang ancaman lanun di Sabah, dimana saya perlu sentiasa bersiap siaga terhadap ancaman musuh," katanya.
Beliau berkata, ketika itu banyak ancaman di sempadan negara termasuk isu pemburu haram.
"Selain itu, kita turut behadapan dengan 'pencerobohan' beberapa tentera militia dari Thailand seperti beberapa kumpulan pemisah.
"Mereka merupakan organisasi 'para military' yang lengkap bersenjata yang menjadikan negara kita sebagai 'lokasi selamat' selepas mereka bertempur dengan askar Thailand," katanya.
Mohd Fitri mahu mati syahid
Anak keempat daripada enam beradik itu mengimbau kembali detik beliau berkhidmat dengan ATM pada 1995.
"Saya masuk askar sebab mahu kehidupan yang mulia dan inginkan mati syahid, saya tiada niat mahu pangkat. Saya juga mahu meneruskan legasi ayah saya yang juga seorang askar serta pakar jurutera, letupan dan pembinaan," katanya.
Mohd Fitri berkata, pada awalnya ayahnya menghalang beliau berkhidmat dengan ATM.
"Saya tidak maklum keluarga selepas menghadiri temuduga di Kem Terendak Melaka, namun ayah mengetahui saya mendapat tawaran menjadi pegawai kadet selepas membaca surat yang dihantar oleh ATM," katanya.
Mohd Fitri berkata, ayahnya menghalang dirinya masuk ke dalam ATM kerana sikap keras kepala dan suka melawan.
"Saya tetap bertegas mahu menjadi askar, saya berjaya menjadi diantara kadet terbaik, empat bulan kemudian saya terpilih sambung pengajian serta latihan ke 'Officer Cadet School Of New Zealand' selama 18 bulan," katanya.
Mohd Fitri yang juga jurulatih Silat Pusaka Gayong berkata, pada ketika itu, barulah ayahnya telah menerima dirinya menjadi seorang tentera.
"Saya juga berjaya menguasai pelajaran taktik ketenteraan ketika menjadi kadet di 'Officer Cadet School Of New Zealand'.
"Saya pulang ke tanah air dan memulakan tugas di Rejimen Askar Melayu Diraja di Kelantan," katanya.
Dilatih ilmu 'combat survival'
Mohd Fitri turut dilatih ilmu 'combat survival' dengan ketua jurulatih mendiang Mejar Johnson anak Mileng.
"Pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah saya berlatih ilmu 'combat survival' di dalam paya penuh pokok duri selama lapan hari.
"Waktu air surut, airnya paras pinggang, apabila air pasang airnya paras leher," katanya.
Mohd Fitri berkata, selepas daripada tempoh itu, beliau bersama rakan sepasukan diarahkan untuk membuat rakit daripada pokok mengkuang.
"Kita kena cari 40 batang pokok mengkuang untuk buat rakit dan ikat menggunakan akar kayu, selepas itu kami mengayuh rakit itu sejauh tiga kilometer," katanya.
Menurutnya, selepas latihan itu, beliau dan rakan sepasukan termasuk beberapa lagi askar antarabangsa seperti Delta Force, British SAS, US Marine serta United States Army Special Forces masuk fasa survival hutan selama 10 hari.
"Latihan itu amat mencabar, namun apa yang saya lihat adalah askar kita lebih mampu bertahan dengan latihan tersebut berbanding askar antarabangsa.
"Kita juga mampu berlapar berbanding askar lain, kita turut membantu mereka mencari makanan di dalam hutan," katanya.

Mohd Fitri melatih TMJ asas ketenteraan.
Mohd Fitri berkata, beliau pernah melatih Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkaitan asas ketenteraan.
"Saya telah diamanahkan untuk melatih TMJ asas ketenteraan selama dua bulan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) pada 2003.
"Saya diarahkan oleh ketua jurulatih, untuk melatih TMJ seperti mana saya melatih askar biasa, tiada keistimewaan" katanya.
Mohd Fitri berkata, pada tiga hari pertama latihan hanya sesi orientasi diberikan kepada TMJ.
"Pada hari keempat bermula latihan lasak yang agak berat untuk TMJ, Tunku Ismail tidak mengeluh dan tidak berputus asa sehingga tempoh latihan bersama saya tamat dan TMJ meneruskan latihan tentera bersama jurulatih lain," katanya.
Bersara awal menjadi usahawan
Mohd Fitri memaklumkan beliau telah memohon sebanyak tiga kali untuk bersara awal kerana ada perkara lain yang mahu diusahakan.
"Akhirnya saya bersara selepas diluluskan oleh Panglima yang ke-20 ATM Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin," katanya.
Beliau berjaya mencapai cita-cita yang diimpikan selepas berkhidmat dengan ATM selama 25 tahun.
"Saya kini mahu mencapai tahap berkhidmat untuk masyarakat, selain mengeluarkan barang-barang premium termasuk barangan hutan yang menggunakan ilmu Melayu purba untuk diberikan kepada rakyat," katanya.
Mohd Fitri menasihati golongan muda yang mahu masuk ATM perlu mencari kepuasan kerja serta melaksanakan tugas kerana ibadat, apa sahaja yang dilakukan akan mendapat berkat dan bermanfaat
"Jangan masuk ATM kerana hanya minat, jika penat hilang minat. Jika masuk ATM sebab pangkat, pasti dia akan sakit hati kerana melihat orang lain naik pangkat, carilah berkat dunia akhirat" katanya.







