KELUAR berdua mungkin dilihat sebagai cara untuk meluangkan masa, mengenali hati budi pasangan atau mengeratkan hubungan. Namun, di sebalik pertemuan yang kelihatan sederhana, kos 'dating' sebenarnya boleh memberi kesan kepada perbelanjaan harian, terutama apabila seseorang merasakan perlu mengeluarkan wang lebih demi menjaga hubungan.
Situasi ini turut memperlihatkan perbezaan tanggungjawab kewangan antara lelaki dan perempuan, khususnya apabila melibatkan siapa yang lebih kerap menanggung kos setiap pertemuan.
Malah, satu tinjauan terbaharu mendapati lebih satu daripada 10 responden lelaki pernah berhutang semata-mata untuk dating.
Dapatan tersebut terkandung dalam laporan Tinjauan Perbelanjaan Janji Temu (Dating) di Malaysia oleh LEGASI Research dengan kerjasama Ekonomi Rakyat, yang meneliti corak aktiviti dating dalam kalangan responden, termasuk kekerapan keluar bersama, lokasi pilihan, jumlah perbelanjaan, kaedah pembayaran serta tanggapan terhadap kos yang terlibat.
Tinjauan ini melibatkan 152 responden dengan data dikumpulkan antara 20 Mei hingga 13 Jun 2026. LEGASI Research menjelaskan dapatan itu memberikan gambaran awal dan perlu ditafsirkan secara berhati-hati kerana keterbatasan sampel serta tidak mewakili keseluruhan penduduk Malaysia.
Hasil tinjauan menunjukkan pusat beli-belah serta kafe atau restoran menjadi lokasi pilihan utama untuk 'dating', manakala makanan dan minuman merupakan komponen perbelanjaan yang paling lazim.
Dari segi kos, lebih separuh responden (52.6%) membelanjakan antara RM51 hingga RM200 bagi setiap pertemuan.
Jumlah tersebut mungkin kelihatan terkawal untuk satu sesi, namun kebanyakan responden keluar dating sekurang-kurangnya sekali sebulan, menjadikan perbelanjaan berkenaan sebahagian daripada komitmen yang perlu diuruskan secara berterusan.
Lelaki lebih kerap menanggung kos dating
Perbezaan lebih ketara dapat dilihat menerusi kaedah pembayaran. Walaupun pembayaran secara bergilir-gilir merupakan amalan paling lazim secara keseluruhan, lelaki didapati lebih cenderung menanggung keseluruhan perbelanjaan ketika keluar bersama pasangan.
Hampir enam daripada 10 responden lelaki (59.3%) menyatakan mereka kebiasaannya membayar sendiri, berbanding hanya 8.2% responden perempuan.
Perbezaan ini memperlihatkan jurang yang ketara dari segi tanggungjawab kewangan ketika 'dating', sekali gus memberi gambaran tentang beban perbelanjaan yang lebih banyak dipikul oleh lelaki.
Tekanan tersebut turut tercermin menerusi tanggapan responden terhadap kos 'dating' masa kini. Hampir separuh daripada mereka menganggap perbelanjaan untuk dating mahal, dengan tekanan kewangan dilaporkan lebih ketara dalam kalangan lelaki berbanding perempuan.
Namun, keadaan itu tidak semestinya menghalang seseorang daripada berbelanja demi hubungan. Majoriti responden masih menyatakan kesanggupan untuk mengeluarkan wang lebih bagi menjaga hubungan, khususnya lelaki.
Malah, perbezaan antara kemampuan kewangan dengan keinginan untuk memenuhi jangkaan pasangan turut dapat dilihat apabila 13.2% responden lelaki mengakui pernah berhutang untuk dating, berbanding 4.9% responden perempuan.
Mengulas dapatan tersebut, Penyelidik Ekonomi LEGASI Research, Firdzan Nur Yassin berkata perbelanjaan 'dating' bukan sekadar berkaitan kos untuk meluangkan masa bersama pasangan, sebaliknya turut melibatkan tanggungjawab kewangan yang berbeza antara lelaki dan perempuan.
“Dapatan tinjauan ini menunjukkan bahawa 'dating' bukan sekadar melibatkan perbelanjaan untuk meluangkan masa bersama pasangan, tetapi juga tanggungjawab kewangan yang mungkin berbeza antara lelaki dan perempuan.
“Walaupun kebanyakan responden berbelanja dalam lingkungan kos yang dianggap munasabah, masih terdapat individu yang mengalami tekanan kewangan, malah sanggup berhutang untuk dating,” kata Firdzan.
Kenyataan itu turut menekankan kepentingan menyesuaikan perbelanjaan 'dating' dengan kemampuan kewangan individu, terutama apabila timbul keinginan untuk berbelanja lebih demi menjaga hubungan.
Laporan penuh Tinjauan Perbelanjaan Janji Temu (Dating) di Malaysia boleh diakses menerusi laman web rasmi LEGASI Research.








