KUALA LUMPUR, 4 November 2026 — Skuad e-sukan negara bagi kategori Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan VALORANT berlepas ke Nanning, China bagi membawa cabaran Malaysia dalam kejohanan China-ASEAN Esports Competition (CAEC) 2026.
Kejohanan yang berlangsung dari 4 hingga 8 November itu menghimpunkan pasukan dari China dan negara-negara Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), sekali gus menjadi platform memperkukuh hubungan serantau serta mengembangkan industri e-sukan ke peringkat antarabangsa.
Malaysia akan memulakan cabaran menerusi kategori VALORANT yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 6 November, manakala saingan MLBB pula berlangsung dari 6 hingga 8 November.
Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) menerusi kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua atlet, jurulatih dan pegawai pasukan yang menggalas tanggungjawab membawa nama negara dalam kejohanan berkenaan.
Menurutnya, seluruh barisan pasukan diharap dapat mempamerkan aksi terbaik, selain menampilkan semangat juang tinggi sepanjang pertandingan.
MESF turut mengajak komuniti e-sukan tempatan memberikan sokongan kepada wakil negara yang bakal bersaing di pentas antarabangsa itu.
Menurut laman rasmi MESF, badan itu berperanan membangunkan atlet, jurulatih dan pegawai serta mencungkil bakat baharu untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan e-sukan antarabangsa. Penyertaan skuad ke Nanning menjadi sebahagian daripada penglibatan negara dalam pertandingan serantau.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
MESF umum barisan atlet negara ke Kejohanan Dunia E-sukan 2026
MESF lantik Tamm, Pasha bimbing skuad PUBG Mobile ke IESF WEC 2026








