KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2026 — Muhammad Insaf Tamsil atau Tamm dan Muhammad Nur Azmi atau Pasha diberi tanggungjawab mengemudi persiapan skuad PUBG Mobile Malaysia dalam misi memburu kejayaan pada Kejohanan Dunia Sukan Elektronik Persekutuan Sukan Elektronik Antarabangsa (IESF WEC) 2026.
Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) dalam kenyataan mengumumkan Tamm dilantik sebagai jurulatih taktikal, manakala Pasha menggalas tugas sebagai jurulatih prestasi.
Pelantikan itu dibuat selepas kedua-dua calon melalui proses temu duga dan penilaian menyeluruh oleh Jawatankuasa Pemilihan yang dilantik MESF.
Menurut kenyataan itu, penilaian calon mengambil kira beberapa aspek termasuk pengalaman, kepakaran teknikal, kefahaman taktikal, keupayaan kepimpinan serta pendekatan dalam pengurusan prestasi pasukan.
Sejak permohonan dibuka, MESF menerima beberapa permohonan daripada individu yang berpengalaman dan terlibat aktif dalam ekosistem kompetitif PUBG Mobile negara.
Antara calon yang mengemukakan permohonan ialah Ikhwansyah “MrFlank” Maskuri, Pasha, Erlangga “Bossku”, Mohd Nur Hakeem “DACSAgARich”, Tamm dan Mosleh “Mosgoku” Subairi.
MESF yakin gabungan pengalaman dan kepakaran Tamm serta Pasha mampu memperkukuh persiapan pasukan, selain meningkatkan daya saing skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.
Pelantikan itu juga sebahagian usaha memperkukuh semula prestasi PUBG Mobile negara, di samping menjadi asas persediaan jangka panjang menuju Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027.
MESF menjelaskan keputusan berkenaan dibuat secara kolektif, telus dan berasaskan merit oleh Jawatankuasa Pemilihan demi kepentingan serta hala tuju pasukan kebangsaan.
Dalam perkembangan seterusnya, barisan kejurulatihan yang dilantik akan menjalankan proses pemilihan pemain bagi membentuk skuad PUBG Mobile Malaysia ke IESF WEC 2026.
Senarai pemain yang dicadangkan akan melalui proses semakan dan pertimbangan Jawatankuasa Pemilihan sebelum dimuktamadkan serta diumumkan secara rasmi oleh MESF.
MESF turut merakamkan ucapan tahniah kepada kedua-dua jurulatih yang terpilih serta penghargaan kepada semua calon yang menyertai proses pemilihan.
Penghargaan turut diberikan kepada ahli Jawatankuasa Pemilihan atas komitmen dan profesionalisme dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
MESF menyeru komuniti sukan elektronik tanah air agar terus memberikan sokongan kepada barisan kejurulatihan dalam usaha membentuk skuad kebangsaan yang mantap, kompetitif dan berdaya saing di pentas dunia.
Sebelum ini, Nusa Times melaporkan pada 10 Oktober bahawa MESF melantik lima panel pemilih bagi menilai pemain serta memilih ketua jurulatih skuad PUBG Mobile negara.
“Panel tersebut diberi tanggungjawab mengenal pasti bakat, menilai prestasi pemain dan menentukan barisan atlet yang berpotensi untuk membawa cabaran Malaysia di pentas antarabangsa,” menurut kenyataan MESF mengenai pelantikan panel itu yang dilaporkan Nusa Times.
Pelantikan panel berkenaan menyusuli perbincangan MESF bersama wakil komuniti PUBG Mobile, yang turut melibatkan pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).
Artikel Berkaitan Terdahulu:







