CALIFORNIA, 7 November 2026 — Ratusan pasukan dari Amerika Utara, Brazil dan Amerika Latin bersaing dalam pusingan kelayakan terbuka VALORANT Champions Tour (VCT) Americas Kickoff yang bermula pada Khamis bagi merebut empat slot ke kejohanan musim 2027 itu.
Riot Games mengumumkan senarai pasukan jemputan yang akan beraksi dalam peringkat playoff kelayakan, dengan laluan pertandingan bermula bulan ini dan berlanjutan hingga Disember.
Empat slot ditawarkan kepada pasukan yang berjaya melepasi kelayakan, masing-masing satu untuk Amerika Utara, Brazil dan Amerika Latin, manakala satu lagi ditentukan menerusi pusingan kelayakan peluang terakhir atau Last Chance Qualifier (LCQ).
Bagi menentukan pasukan yang layak, dua pusingan kelayakan terbuka menggunakan format penyingkiran tunggal diadakan sebelum pasukan terbaik mara ke peringkat playoff.
Menurut Riot Games, pusingan pertama Amerika Utara berlangsung dari 5 hingga 8 November, manakala pusingan kedua dijadualkan pada 12 hingga 15 November.
Format pertandingan dan laluan ke Kickoff
Beberapa kelab serta pasukan yang bukan berstatus rakan kongsi Riot Games turut menerima jemputan untuk memulakan saingan dari peringkat playoff.
Peluang itu diberikan kepada pasukan berdasarkan pencapaian sepanjang musim 2026, sekali gus membolehkan mereka melepasi pusingan awal kelayakan terbuka.
Peringkat playoff menggunakan format Swiss dengan penyertaan antara lapan hingga 16 pasukan, bergantung kepada kejohanan kelayakan masing-masing, sebelum diteruskan dengan peringkat kalah mati dua penyingkiran.
Bagi Amerika Utara, peringkat Swiss dijadualkan pada 20 hingga 22 November, diikuti saingan kalah mati pada 1 hingga 6 Disember.
Hanya juara memperoleh tiket automatik ke Kickoff, manakala naib juara perlu meneruskan perjuangan menerusi LCQ.
Pasukan lain pula perlu menunggu pusingan kelayakan terbuka seterusnya bagi kejohanan Cups untuk kembali merebut peluang beraksi.
Bagaimanapun, Amerika Latin menggunakan laluan berbeza memandangkan rantau itu dibahagikan kepada dua subrantau, iaitu Utara dan Selatan.
Juara playoff kedua-dua subrantau akan bertemu dalam perlawanan akhir Utara menentang Selatan bagi menentukan wakil Amerika Latin ke Kickoff. Pasukan yang tewas masih berpeluang merebut slot menerusi LCQ.
Turut menjadi perhatian ialah penyertaan dua pasukan daripada kejohanan Game Changers dalam senarai jemputan, iaitu Shopify Rebellion Gold bagi Amerika Utara dan KRÜ Blaze dari Amerika Latin Selatan.
Sementara itu, MIBR dari Brazil turut berpeluang menerima jemputan, namun organisasi berkenaan mengambil keputusan menolaknya berikutan ketiadaan Paula “bstrdd” Naguil sepanjang tempoh pertandingan.
Senarai pasukan mengikut kelayakan
Bagi Amerika Utara, lapan pasukan disenaraikan iaitu ENVY, Cloud9, Shopify Rebellion Black, Shopify Rebellion Gold, SaD Esports, YFP, FlyQuest dan QoR Gaming.
Brazil pula menyaksikan penyertaan Fluxo W7M, Next (bekas RED Canids), 2GAME, Team Solid, Manticore (bekas INTZ) dan Elevate.
Bagi Amerika Latin Utara, empat pasukan yang disenaraikan ialah Fuego, LEONES (bekas LYON), Chivas Esports dan BonBonBumContra.
Sementara itu, Amerika Latin Selatan diwakili KRÜ Blaze, University War dan 9z Team.
VCT Americas Kickoff 2027 akan berlangsung di São Paulo, Brazil, dengan lapan pasukan rakan kongsi dan empat pasukan daripada laluan kelayakan melengkapkan penyertaan. LCQ dijadualkan pada 17 dan 18 Disember di bandar sama.
Artikel Berkaitan Terdahulu:










