ALLEN, Texas, 6 November 2026 — Invictus Gaming (IG) meneruskan kemaraan cemerlang mereka di Kejohanan Dunia League of Legends (Worlds) 2026 apabila menjadi pasukan pertama mengesahkan tempat di separuh akhir selepas menewaskan wakil senegara, Top Esports (TES), 3-1 pada Selasa.
Kemenangan itu menyaksikan juara dunia 2018 berkenaan kembali ke kelompok empat terbaik kejohanan berprestij itu buat kali pertama sejak 2019.
Aksi suku akhir pembukaan menyaksikan Kang “TheShy” Seung-lok memberikan tekanan awal apabila menggunakan Gnar untuk menewaskan Ambessa pilihan Bai “369” Jia-Hao tanpa bantuan rakan sepasukan.
Pertarungan semakin sengit ketika perebutan objektif naga pertama apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sebelum IG berjaya menguasai objektif berkenaan.
Selepas minit ke-10, TES melakukan serangan balas yang baik di lorong bawah, namun momentum perlawanan berubah ketika pertempuran penting di sekitar Rift Herald.
Yan “Wei” Yang-Wei yang menggunakan Qiyana mula menguasai permainan dan membantu IG mengubah kedudukan memihak kepada mereka.
TES cuba bangkit dengan menewaskan Qiyana beberapa kali, namun persembahan cemerlang Wei dalam beberapa pertempuran menjadi faktor penting apabila IG memenangi perlawanan pertama untuk mendahului 1-0.
Perlawanan kedua menyaksikan TheShy kembali menampilkan gaya permainan agresif apabila memilih Vayne untuk berdepan Renekton milik 369.
Bagaimanapun, pemain lorong atas TES itu mencuri tumpuan menerusi aksi bertahan yang cukup berkesan, sekali gus membantu pasukannya mengawal permainan selepas Wei sekali lagi memberikan kelebihan pada peringkat awal.
Antara detik paling mencuri perhatian berlaku ketika IG cuba menamatkan permainan dengan menekan menara peringkat tiga di lorong tengah.
369 menggunakan Renekton untuk menewaskan kedua-dua pemain utama lawan dalam satu serangan, dibantu kesilapan penggunaan kemahiran Condemn oleh TheShy yang menyebabkan Renekton terus menghampiri Yunara pilihan Zi “JiaQi” Jiaqi.
Walaupun TES melakukan beberapa kesilapan, termasuk serangan gabungan Orianna dan Xin Zhao yang kurang menjadi menerusi Lin “Creme” Jian serta Gao “Tian” Tian-Liang, mereka berjaya memanfaatkan komposisi pertarungan berkumpulan.
Beberapa penggunaan kemahiran muktamad Renata oleh Wang “Zhuo” Xu-Zhuo yang kurang tepat turut tidak menghalang TES daripada mengikat kedudukan 1-1.
Selepas perlawanan kedua yang berlangsung sengit, IG tampil lebih agresif pada aksi ketiga dengan mengekang usaha kebangkitan TES.
Strategi juara dunia 2018 itu cukup jelas apabila mereka memberi tumpuan kepada Yu “JackeyLove” Wen-bo dan Zhuo di lorong bawah.
Gandingan Zeri dan Yuumi yang dikendalikan JiaQi serta Tian “Meiko” Ye kerap melancarkan serangan, dengan sokongan pergerakan Wei menggunakan Jayce.
Di lorong tengah, Song “Rookie” Eui-jin turut memberikan tekanan hebat kepada Yone pilihan Creme sehingga menyukarkan pemain itu mengembangkan permainan.
Jurang kekuatan antara kedua-dua pasukan semakin ketara ketika pertempuran berkumpulan, sekali gus membolehkan IG mengawal sepenuhnya perlawanan dan mendahului 2-1.
Selepas berehat selama 40 minit, kedua-dua pasukan kembali ke pentas untuk aksi keempat yang menjadi penentu nasib mereka.
IG sekali lagi mempertaruhkan Wei sebagai tonggak utama dengan memberikan pilihan Naafiri di posisi hutan.
Keputusan itu membuahkan hasil apabila Wei berjaya mencatatkan penyingkiran pertama selain mencuri naga pertama pada peringkat awal permainan.
Dengan kelebihan emas yang sedikit, IG bermain lebih sabar dan mengawal rentak menerusi pertempuran berkumpulan, menggunakan barisan hadapan yang kukuh untuk meningkatkan kelebihan secara berperingkat.
Pertarungan penentuan di sekitar objektif Soul akhirnya memuktamadkan nasib TES apabila IG berjaya menutup perlawanan untuk mengesahkan kemenangan 3-1.
Artikel Berkaitan Terdahulu:








