PUTRAJAYA, 6 November 2026 — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia mengaktifkan Ops Payung dan mengarahkan pembukaan bilik gerakan banjir bagi memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 dapat menduduki peperiksaan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata persediaan itu melibatkan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Di peringkat KPM, saya telah arahkan untuk membuka bilik gerakan banjir,” kata Mohd Azam, pada Khamis.
Beliau berkata bilik gerakan itu akan mengumpul maklumat dan memantau perkembangan banjir. KPM juga akan menyalurkan peringatan kepada jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan sekolah.
Calon SPM di kawasan berisiko banjir boleh ditempatkan di asrama bagi mengelakkan gangguan perjalanan ke pusat peperiksaan.








