WASHINGTON, 1 November 2026 — Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) mengaitkan Korea Utara dengan kecurian aset maya bernilai lebih AS$6 bilion daripada platform pertukaran mata wang kripto, Binance.
Dalam kenyataan pada Sabtu, agensi itu menyatakan kejadian berlaku sekitar Khamis dan mengenal pasti operasi siber berkenaan sebagai TraderTraitor.
“Korea Utara bertanggungjawab terhadap kecurian aset maya bernilai lebih AS$6 bilion daripada platform pertukaran mata wang kripto Binance,” kata FBI dipetik dari kenyataan rasminya.
FBI bersama Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat dan Bahagian Siasatan Jenayah Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri mengesan pelaku menukar aset yang dicuri terutamanya kepada Ethereum.
Agensi itu menjangkakan aset berkenaan akan melalui proses pengubahan lanjut menggunakan platform kewangan terdesentralisasi dan perkhidmatan pertukaran segera mata wang kripto.
Susulan itu, pihak berkuasa menggesa pengendali perkhidmatan aset maya, firma analisis rantaian blok dan penyedia pertukaran menyekat transaksi melibatkan alamat dompet digital yang digunakan pelaku.
FBI turut menerbitkan senarai alamat dompet yang dikenal pasti memegang atau pernah menerima aset hasil kecurian tersebut.
Sebelum ini, firma risikan rantaian blok, TRM Labs menganggarkan kira-kira AS$6.36 bilion dipindahkan daripada dompet Binance merentasi 10 rangkaian rantaian blok dalam serangan pada Khamis.
Firma itu mengaitkan serangan tersebut dengan TraderTraitor berdasarkan risikan transaksi serta maklumat lain, dengan tahap keyakinan tinggi. Menurut penilaiannya, serangan berkenaan menunjukkan sistem yang digunakan untuk menandatangani transaksi dompet Binance telah dikompromi.
Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Binance, Richard Teng berkata, syarikat itu sudah menggantikan 90 peratus aset yang dicuri menggunakan dana syarikat dan komited menampung baki kerugian, menurut laporan The Edge Malaysia pada Ahad.
Teng turut memberi jaminan pengguna tidak akan menanggung kesan kewangan akibat kejadian itu.








