KUALA LUMPUR, 3 November 2026 — Simpanan penengah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ahli Bumiputera berumur bawah 55 tahun berjumlah RM12,879 pada 2025, berbanding RM55,698 bagi ahli Cina, menurut laporan LEGASI Research.
Laporan Jurang Kekayaan Antara Etnik di Malaysia (Siri 1) yang diterbitkan pada Oktober itu menyatakan simpanan penengah Bumiputera bersamaan kira-kira 23 peratus daripada simpanan penengah ahli Cina.
Angka tersebut turut terkandung dalam data rasmi KWSP setakat 31 Disember 2025, yang merekodkan simpanan penengah ahli India dalam kumpulan umur sama sebanyak RM22,028.
Menurut LEGASI Research, perbandingan dengan April 2020 menunjukkan simpanan penengah Bumiputera masih sekitar 17 peratus lebih rendah daripada RM15,500 yang direkodkan ketika itu.
Sebaliknya, simpanan penengah ahli Cina meningkat sekitar 22 peratus daripada RM45,800 kepada RM55,698, manakala simpanan penengah ahli India berkurangan sekitar 14 peratus daripada RM25,700 kepada RM22,028.
“Ukuran kejayaan dasar pembangunan sosioekonomi negara tidak boleh bersandar semata-mata kepada pengurangan jurang pendapatan dan gaji bulanan selagi jurang pemilikan kekayaan terus melebar,” menurut laporan LEGASI Research.
Laporan itu turut meneliti perbezaan pendapatan daripada harta dan pelaburan antara kumpulan etnik.
Pada 2024, isi rumah Bumiputera memperoleh purata RM851 sebulan daripada sumber berkenaan, berbanding RM1,629 bagi isi rumah Cina.
Nisbah pendapatan daripada harta dan pelaburan Bumiputera kepada Cina merosot daripada 0.54:1 pada 2014 kepada 0.52:1 pada 2024, menurut analisis tersebut.
Dalam tempoh sama, purata pendapatan daripada sumber itu meningkat bagi kedua-dua kumpulan, daripada RM571 kepada RM851 untuk Bumiputera dan RM1,050 kepada RM1,629 untuk Cina.
Bagi pendapatan isi rumah keseluruhan, laporan itu merujuk pendapatan penengah bulanan Bumiputera sebanyak RM6,559 pada 2024, berbanding RM8,886 bagi Cina, bersamaan nisbah sekitar 0.74:1. Angka pendapatan itu turut direkodkan dalam laporan Jabatan Perangkaan Malaysia.
LEGASI Research menyatakan pengukuran pendapatan bulanan sahaja belum menggambarkan keseluruhan kedudukan kekayaan, yang turut merangkumi aset kewangan dan bukan kewangan seperti hartanah.
Firma penyelidikan itu memaklumkan penerbitan siri seterusnya akan membangunkan anggaran nilai stok harta dan kekayaan per kapita mengikut kumpulan etnik bagi membantu pembentukan dasar pembinaan kekayaan yang lebih bersasar.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Anwar mahu rakyat diberi pilihan bekerja selepas umur 60 tahun








