DHAKA, 3 November 2026 — Sebanyak 679 kilang pakaian di Bangladesh menghentikan pengeluaran selepas pertempuran baharu antara pekerja dan polis pada Isnin, tidak lama selepas operasi disambung semula susulan penutupan sehari sebelumnya.
Pekerja menuntut gaji minimum bulanan 30,000 taka berbanding 12,500 taka, menurut Reuters yang disiarkan CNA.
“Bangladesh mempunyai antara gaji pekerja pakaian paling rendah di dunia,” kata Setiausaha Agung Persekutuan Pekerja Pakaian dan Industri Bangladesh, Babul Akhter dipetik dari Reuters/CNA.
Polis menyatakan gas pemedih mata digunakan untuk menyuraikan pekerja yang cuba menyekat jalan di Dhaka. Pergolakan turut dilaporkan di Ashulia dan Gazipur.
Presiden Persatuan Pengilang dan Pengeksport Pakaian Bangladesh (BGMEA), Mahmud Hasan Khan berkata, sekitar 20 hingga 25 kilang dirosakkan.
Beliau memberi amaran majikan mungkin menggunakan peruntukan tidak bekerja, tidak dibayar gaji jika gangguan berterusan.
Sebelum ini, kerajaan membentuk lembaga gaji enam anggota pada Ahad untuk menyemak tuntutan pekerja ketika inflasi dan kos sara hidup meningkat.
Sektor pakaian menggaji kira-kira empat juta pekerja dan menyumbang lebih 80 peratus pendapatan eksport Bangladesh, menurut laporan sama.
Pemilik kilang pula menyatakan industri berdepan kenaikan kos, ketidaktentuan pasaran tenaga akibat konflik Timur Tengah dan permintaan lebih perlahan di pasaran eksport utama.








