JAKARTA, 27 Oktober 2026 — Indonesia mempertahankan pengurangan eksport gas ke Singapura dengan menyatakan langkah itu masih dalam had kontrak, selepas republik berkenaan menegaskan komitmen bekalan komersial perlu dihormati.
Menteri Koordinator Bidang Hilirisasi dan Transisi Tenaga merangkap Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Bahlil Lahadalia berkata, pengurangan itu sekitar lapan peratus.
“Kami hanya mengurangkannya sekitar lapan peratus. Kami hanya akan melanggar kontrak jika mengurangkannya sebanyak 10 peratus,” kata Bahlil dipetik dari CNA.
Beliau menjelaskan pendirian itu pada sidang media di Jakarta pada Isnin. Menurutnya, keperluan penyelenggaraan dan permintaan domestik menjadi antara faktor pengurangan bekalan.
Pengurangan yang bermula Sabtu melibatkan 31 juta kaki padu standard sehari, iaitu 15 juta dari Natuna dan 16 juta dari Sumatera, menurut laporan CNA.
Gas Natuna dialihkan untuk keperluan elektrik Batam, manakala bekalan dari Sumatera digunakan bagi memenuhi permintaan di Batam, Bintan dan Sumatera.
Sebelum ini, Menteri Tenaga, Perdagangan dan Industri Singapura, Dr Tan See Leng menyatakan pada Ahad bahawa kontrak tersebut melibatkan pengimport Gas Supply Pte Ltd (GSPL) dengan pembekal Indonesia.
Menurut kenyataan rasmi kementeriannya, GSPL akan berurusan dengan pembekal untuk menentukan sama ada berlaku pelanggaran kontrak dan mendapatkan remedi komersial yang diperuntukkan jika perlu.
Tan berkata, pengurangan bersamaan kurang dua peratus permintaan gas harian sektor penjanaan kuasa Singapura. Bekalan gantian tersedia, termasuk gas asli cecair (LNG).
Singapura mengekalkan kemudahan LNG siap siaga dan kesiapsiagaan Singapore GasCo untuk menambah import. Syarikat penjana turut diwajibkan menyimpan rizab diesel, menurut kenyataan itu.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Singapura siap tambah import LNG susulan pengurangan gas Indonesia
Indonesia kurangkan eksport gas, PM Singapura gesa kontrak dihormati
Indonesia mula kurangkan eksport gas ke Singapura
Malaysia, Singapura perbaharui kerjasama tenaga, perkukuh perdagangan elektrik rentas sempadan










