LAPU-LAPU CITY, 30 Oktober 2026 — China dan Filipina bertukar tuduhan mengenai penyertaan Beijing dalam mesyuarat pertahanan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di Cebu, ketika Manila menolak dakwaan bahawa jawatan pengerusi digunakan untuk menyekat China.
China menghantar atase pertahanannya ke Filipina, Kapten Kanan Yang Lei untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus), bukannya menteri pertahanan.
Setiausaha Pertahanan Filipina, Gilberto Teodoro Jr. berkata, dakwaan Beijing tidak mencerminkan pendirian anggota ASEAN.
“Bagi ASEAN, saya tidak percaya negara anggota ASEAN berpendirian begitu. Jika sebaliknya, mereka tentu memaklumkan kepada saya,” kata Teodoro dipetik dari Daily Tribune selepas mesyuarat pada Khamis.
Jurucakap Kementerian Pertahanan China, Kolonel Kanan Zhang Xiaogang sebelum itu menuduh Manila membenarkan seorang ahli politik yang tidak dinamakan bertindak sesuka hati dan menggunakan jawatan pengerusi untuk menghalang penyertaan China.
Zhang mendakwa Filipina melanggar protokol diplomatik serta menjejaskan hak China sebagai rakan dialog. Teodoro pula berkata, prosedur mesyuarat ditentukan oleh anggota ASEAN.
Pertikaian itu menyusuli ketegangan antara Teodoro dengan Duta China ke Filipina, Jing Quan mengenai kenyataan utusan tersebut pada 15 Oktober bahawa Beijing mungkin menang dengan mudah jika memilih menggunakan kekerasan. Jing turut menyatakan China tidak akan memilih kekerasan dan mahukan keamanan.
Sebelum ini, Filipina memanggil Jing pada 19 Oktober untuk menyampaikan bantahan terhadap kenyataan yang dianggap membawa ancaman.
Teodoro menyerahkan jawatan pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) kepada Singapura, yang akan mengetuai mesyuarat pada 2027.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Filipina panggil duta China, bantah kenyataan dianggap mengancam
Filipina bantah kenyataan duta China, Marcos mahu penjelasan
Filipina kerah kapal terbesar dan pesawat mencabar kapal penyelidikan China
Malaysia gesa kerjasama pertahanan ASEAN–Jepun lebih bersepadu










