TEHRAN, 26 Oktober 2026 — Pengantara Qatar dilaporkan berada di Tehran pada Ahad dalam usaha meredakan ketegangan serantau yang diselaraskan dengan Amerika Syarikat (AS), menurut seorang pegawai yang dimaklumkan mengenai perkembangan itu.
Pegawai berkenaan memberikan maklumat tersebut kepada Reuters, seperti dipetik dalam laporan Pakistan Today. Kehadiran pengantara itu dilaporkan ketika Washington menimbang langkah diplomatik dan tindakan ketenteraan terhadap Iran.
Dalam perkembangan diplomatik berasingan pada Ahad, Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al-Thani mengadakan perbualan telefon dengan Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, menurut Agensi Berita Qatar (QNA).
Kedua-duanya membincangkan perkembangan terkini, usaha diplomatik yang sedang berjalan serta penyelarasan bersama untuk meredakan ketegangan dan meningkatkan keselamatan serta kestabilan serantau.
Mohammed turut menegaskan sokongan Qatar terhadap usaha dan inisiatif diplomatik bagi mencapai penyelesaian yang menjamin kebebasan pelayaran, serta membuka jalan kepada perjanjian menyeluruh untuk keamanan berkekalan di rantau itu, menurut QNA.
Pada hari sama, Presiden AS, Donald Trump menyatakan tiada serangan ke atas Iran akan dilancarkan pada Ahad waktu AS, ketika ditanya mengenai kemungkinan tindakan ketenteraan disambung seawal hari tersebut.
“Jawapannya tidak, tidak akan ada serangan hari ini,” kata Trump dipetik dari Pakistan Today, yang melaporkan kenyataannya ketika berlepas dari Rumah Putih menuju Michigan.
Trump sebelum itu menyatakan beliau sedang mempertimbangkan sama ada mahu mencapai perjanjian dengan Tehran atau meneruskan tindakan ketenteraan, menurut laporan sama.
Sebelum ini, Mohammed bertemu Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi di Tehran pada 27 Ogos 2026. Kementerian Luar Qatar memaklumkan pertemuan itu membincangkan usaha mengurangkan ketegangan serta mewujudkan keadaan yang sesuai bagi dialog.
Perbincangan pada Ogos turut melibatkan cadangan kerangka sementara, termasuk pembentukan laluan perkapalan bersama melalui Selat Hormuz dan projek bersama membersihkan periuk api di selat berkenaan, menurut kementerian itu.
Dalam pertemuan tersebut, Mohammed menekankan keperluan menghormati kedaulatan negara jiran dan kebebasan pelayaran, selain meneruskan usaha diplomatik untuk menyelesaikan pertikaian melalui dialog.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Iran sifatkan respons AS terhadap syarat pembukaan Hormuz tidak mencukupi
Iran tegaskan tiada penyelesaian ketenteraan bagi konflik dengan AS
Iran dan Mesir bincang usaha diplomatik redakan ketegangan
Menteri luar Arab Saudi dan Iran bincang usaha redakan ketegangan
Iran tingkat latihan peluru berpandu, bersedia hadapi kemungkinan serangan baharu
Giliran USS Theodore Roosevelt ke Timur Tengah, Trump pertimbang serangan semula ke atas Iran










