ISTANBUL, 19 Oktober 2026 — Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi dan rakan sejawatnya dari Mesir, Badr Abdelatty berbincang melalui telefon pada Ahad mengenai perkembangan serantau serta usaha diplomatik untuk meredakan ketegangan.
Perbincangan itu turut menyentuh “usaha dan inisiatif diplomatik yang bertujuan mengurangkan ketegangan serta mengekalkan kestabilan di rantau ini”, menurut kenyataan dalam saluran Telegram Araghchi yang dipetik dari Anadolu.
Agensi berita berkenaan melaporkan tiada perincian lanjut mengenai perbualan tersebut diberikan ketika laporannya diterbitkan.
Panggilan pada Ahad menyusuli pertemuan Araghchi dengan Abdelatty di Baghdad pada Sabtu, di luar persidangan Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), menurut The Express Tribune.
Sebelum ini, Araghchi menyatakan pada persidangan di Baghdad bahawa Tehran menyokong proses politik bagi menyelesaikan konflik antara Arab Saudi dengan kumpulan Houthi di Yemen.
Menurut laporan sama, beliau menyatakan kesediaan Iran membantu menamatkan konflik itu dan menegaskan penyelesaian ketenteraan bukan pilihan untuk mengakhiri perang saudara Yemen. Tawaran memudahkan dialog turut dikemukakannya dalam panggilan dengan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan bin Abdullah pada minggu sebelumnya.
Di Kaherah pada Ahad, Majlis Pertahanan Negara Mesir yang dipengerusikan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi pula memutuskan untuk memberikan sokongan yang perlu dan mampu dilaksanakan bagi mempertahankan keselamatan serta kestabilan Arab Saudi.
Kenyataan Pejabat Presiden Mesir turut menyebut perlindungan sumber, keutuhan wilayah dan tempat suci Islam di negara itu.
Majlis tersebut juga memutuskan untuk meneruskan serta mempergiat usaha politik dan diplomatik bersama pihak serantau dan antarabangsa bagi meredakan ketegangan serta mencari penyelesaian aman kepada krisis di rantau berkenaan.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Mesir mohon mandat Parlimen bantu Arab Saudi
Bangunan pentadbiran Aramco terbakar selepas serangan, Saudi lapor tiada kecederaan
Menteri luar Arab Saudi dan Iran bincang usaha redakan ketegangan








