KUALA LUMPUR, 3 November 2026 — Malaysia memutuskan untuk tidak mengekstradisi pendakwah bebas Dr Zakir Naik ke India dan tidak memberikan sebarang komitmen untuk menyerahkan beliau kepada negara itu.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan pendirian berkenaan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang dilaporkan Bernama pada Selasa.
Menurut kementerian itu, keputusan berkenaan dibuat berasaskan hak Malaysia di bawah Artikel 6 Triti Ekstradisi yang ditandatangani dengan India pada 2010 serta peruntukan Akta Ekstradisi 1992.
KDN turut menjelaskan bahawa kerajaan belum menerima sebarang permohonan ekstradisi baharu daripada India setakat ini.
“Kerajaan juga telah menerima nota diplomatik daripada Kerajaan India yang memohon pertimbangan semula pada 29 Mei 2020,” menurut KDN dipetik dari Bernama.
Permohonan rasmi India untuk mengekstradisi Zakir sebelum itu diterima pada 19 Januari 2018.
Penjelasan tersebut diberikan bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary, mengenai perkembangan permohonan India dan tarikh permohonan rasmi terkini.
Ahmad Marzuk turut meminta penjelasan mengenai pematuhan dokumen dan keterangan terhadap undang-undang ekstradisi serta sama ada Malaysia memberikan komitmen untuk menyerahkan pendakwah berkenaan.
Zakir, pendakwah kelahiran India yang menetap di Malaysia, menjadi subjek permohonan ekstradisi berkaitan beberapa kes di negara asalnya.








