KUALA LUMPUR, 5 November 2026 — Seramai 213 rakyat Malaysia ditahan di luar negara kerana disyaki menjadi keldai dadah bagi tempoh 2024 hingga September tahun ini, ketika sindiket terus menyasarkan golongan muda termasuk pelajar dan graduan institusi pengajian tinggi.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, tawaran pekerjaan bergaji lumayan, pakej percutian, tiket penerbangan, penginapan dan imbuhan kewangan antara taktik yang digunakan untuk memperdaya mangsa.
“Perkembangan ini menunjukkan bahawa sindiket semakin mengeksploitasi golongan muda melalui tawaran yang kelihatan menarik,” kata Shamsul Anuar.
Beliau menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Menurut Bernama, sindiket turut menggunakan media sosial, platform e-dagang dan aplikasi komunikasi untuk mencari pelanggan serta mengurus jual beli dadah.
Kaedah yang dikenal pasti termasuk akaun palsu, kumpulan komunikasi tertutup, pembayaran tanpa tunai dan e-dompet. Perkhidmatan kurier, pembayaran tunai semasa penghantaran serta lokasi penyerahan tertentu juga digunakan.
Bagi membendung kegiatan tersebut, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan risikan dan pemantauan siber sepanjang masa.
Usaha itu melibatkan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), penyedia platform digital serta syarikat kurier bagi mengesan rangkaian dan memutuskan rantaian pengedaran.
Kerjasama dengan institusi kewangan turut diperkukuh untuk mengenal pasti transaksi mencurigakan serta menyekat aliran pembayaran dan penghantaran, menurut laporan Bernama.
Kerajaan juga sedang meneliti keperluan meminda Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi menyenaraikan bahan psikoaktif baharu yang dikenal pasti.
Di peringkat antarabangsa, PDRM meneruskan perkongsian risikan, data dan pengesanan aset merentas sempadan, selain meningkatkan kawalan di pintu masuk negara.
Artikel Berkaitan Terdahulu:








