PUTRAJAYA, 16 Oktober 2026 — Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan orang ramai memakai pelitup muka N95 sekiranya perlu berada di luar ketika jerebu bagi mengurangkan pendedahan kepada partikel halus.
Menurut kenyataan KKM pada Jumaat, pelitup berkenaan adalah paling berkesan untuk menapis partikel PM2.5 dalam udara berjerebu.
“Sekiranya pelitup muka N95 tidak dapat diperolehi, pemakaian pelitup muka tiga lapis boleh dipertimbangkan sebagai langkah perlindungan tambahan yang terhad,” menurut KKM.
KKM memaklumkan bahawa partikel halus bersaiz 2.5 mikron boleh memasuki sistem pernafasan dan membahayakan kesihatan.
Kementerian itu menyatakan langkah paling berkesan meminimumkan kesan buruk jerebu ialah mengelakkan aktiviti luar apabila Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 100, iaitu tahap tidak sihat.
KKM akan meneruskan pemantauan kesan jerebu terhadap kesihatan penduduk serta memastikan fasiliti, bekalan ubat-ubatan dan petugas bersedia memberikan perkhidmatan.
Sebelum ini, MERCY Malaysia memperluas respons kecemasan jerebu ke seluruh negara bagi membantu komuniti terjejas, khususnya golongan rentan. Kit bantuan organisasi itu merangkumi pelitup muka, tisu basah dan maklumat kesihatan.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Jerebu: Sekolah bawah lapan PPD di Selangor ditutup Jumaat
Murid asrama disaran kekal sepanjang penutupan sekolah akibat jerebu







