KUALA LUMPUR, 10 Oktober 2026 — MERCY Malaysia memperluas Respons Kecemasan Jerebu ke seluruh negara bagi menyalurkan maklumat kesihatan dan bantuan kepada komuniti terjejas, khususnya golongan rentan.
Organisasi kemanusiaan itu dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu dengan masalah pernafasan atau jantung berdepan risiko kesihatan paling tinggi.
“Jerebu bukanlah sesuatu yang boleh ditangani oleh mana-mana agensi, komuniti atau individu secara bersendirian. Ia memerlukan tindakan kolektif sebagai sebuah negara,” kata Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus dipetik dari BERNAMA.
Organisasi itu menyediakan kit respons kecemasan jerebu yang mengandungi antaranya pelitup muka, tisu basah dan risalah maklumat kesihatan.
Organisasi itu menggesa pihak berkuasa memperkukuh penyelarasan, mengeluarkan nasihat awam tepat pada masanya dan mempercepat bantuan kepada komuniti terjejas.
Sebelum ini, respons organisasi itu dilaksanakan di Sarawak bagi menyokong advokasi kesihatan awam dan kesedaran komuniti. Nusa Times pada 24 September 2026 melaporkan keadaan jerebu di Sarawak kembali memburuk, dengan bacaan pencemaran udara di Serian mencapai 217.
Semua sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Selangor pula ditutup mulai Jumaat akibat jerebu. Keputusan yang diumumkan pada Khamis itu disertai pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dari rumah.
Organisasi itu turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai dan pihak korporat untuk penyediaan serta pengagihan kit, advokasi kesihatan awam dan bantuan komuniti.
Artikel Berkaitan Terdahulu:
Semua sekolah bawah KPM di Selangor ditutup mulai Jumaat akibat jerebu
Anwar hubungi Prabowo, Indonesia sedia ambil langkah tangani jerebu
Agong nasihat sekolah terjejas jerebu ditutup, utamakan keselamatan murid
KPT beri IPT autonomi tentukan mod pembelajaran apabila IPU melebihi 201
Malaysia mahu rundingan operasi bantuan kebakaran Kalimantan disegerakan







