ANA Belen Montes, bekas penganalisis kanan Agensi Perisikan Pertahanan (DIA) Amerika Syarikat (AS), mengintip untuk Cuba sepanjang 16 tahun bertugas di agensi itu, dari 1985 hingga penahanannya pada 2001.
Kegiatan pengintipan wanita itu terbongkar apabila Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS menahannya pada 21 September 2001.
Menurut FBI, siasatan mendapati Montes sebenarnya menjadi ejen perisikan Cuba yang menyusup masuk ke dalam komuniti perisikan AS dan membocorkan maklumat sulit ketika bertugas sebagai penganalisis kanan di DIA.
Montes merupakan penganalisis utama DIA dalam bidang berkaitan Cuba dan dikenali dalam komuniti perisikan AS kerana kepakarannya.
Namun, tiada siapa menyedari bahawa Montes menggunakan kedudukan itu untuk membocorkan maklumat ketenteraan sulit AS serta sengaja memesongkan penilaian kerajaan negara itu terhadap Cuba.
Pembabitan Montes dalam kegiatan pengintipan bermula menerusi proses perekrutan pada 1984 ketika dia bekerja dalam bidang pentadbiran di Jabatan Kehakiman di Washington.
Montes sering mengkritik secara terbuka dasar kerajaan AS terhadap negara-negara Amerika Tengah.
Pandangan itu menarik perhatian beberapa pegawai Cuba yang melihat Montes berkemungkinan bersimpati dengan perjuangan negara berkenaan.
Selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai terbabit, Montes bersetuju untuk membantu Cuba.
Menyedari keperluan mendapatkan kedudukan dalam komuniti perisikan bagi melaksanakan tugas itu, Montes kemudian memohon pekerjaan di DIA, sebuah agensi utama yang membekalkan maklumat perisikan kepada Pentagon.
Ketika mula bekerja di agensi berkenaan pada 1985, Montes sebenarnya sudah direkrut sepenuhnya sebagai ejen pengintip.
Bagi mengelakkan kegiatannya dikesan, Montes tidak pernah membawa keluar sebarang dokumen dari pejabat, sama ada dalam bentuk elektronik mahupun salinan bercetak.
Sebaliknya, wanita itu menghafal maklumat sulit sebelum pulang ke rumah untuk menaip semula butiran berkenaan menggunakan komputer riba.
Maklumat itu kemudian dipindahkan ke cakera yang disulitkan sebelum diserahkan kepada pegawai pengendalinya menerusi pertemuan secara bersemuka.
Arahan daripada perisikan Cuba pula diterima melalui siaran radio gelombang pendek dalam bentuk kod sebelum Montes mengadakan pertemuan dengan pegawai terbabit.
Sepanjang bertugas di DIA, pegawai keselamatan mengetahui pandangan Montes terhadap dasar luar AS dan pernah menyuarakan kebimbangan mengenai aksesnya kepada maklumat sensitif.
Bagaimanapun, mereka tidak mempunyai bukti bahawa wanita itu membocorkan rahsia negara, malah Montes turut lulus ujian poligraf.
Kegiatannya mula menimbulkan syak pada 1996 apabila seorang rakan sekerja di DIA melaporkan kepada pegawai keselamatan bahawa dia mengesyaki Montes berada di bawah pengaruh perisikan Cuba.
Pegawai keselamatan kemudian menemu bual Montes, namun beliau tidak mengakui sebarang pembabitan.
Perkara itu hanya kembali mendapat perhatian empat tahun kemudian apabila pegawai berkenaan mengetahui FBI sedang berusaha mengenal pasti seorang ejen Cuba yang dipercayai beroperasi secara rahsia di Washington.
Pegawai itu kemudian menghubungi FBI untuk menyalurkan maklumat berkaitan Montes.
Selepas meneliti fakta yang dikemukakan, FBI membuka siasatan terhadap wanita berkenaan.
Menerusi pengawasan fizikal dan elektronik serta pemeriksaan secara sulit, FBI berjaya mengumpulkan bukti bagi membina kes terhadap Montes.
Penyiasat turut berusaha mengenal pasti pegawai pengendalinya dari Cuba dan menunggu peluang untuk mengesan pertemuan secara bersemuka antara mereka.
Justeru, penahanan Montes ditangguhkan sementara bagi membolehkan usaha mengenal pasti rangkaian pengintipan itu diteruskan.
Bagaimanapun, perkembangan susulan serangan 9/11 menyebabkan FBI dan DIA tidak boleh mengambil risiko membiarkan Montes terus bertugas.
Ini kerana wanita itu diberikan tugasan berkaitan perancangan perang AS, sekali gus berpotensi membuka ruang kepada kebocoran maklumat ketenteraan yang lebih besar.
Keadaan itu mendorong pihak berkuasa bertindak menahannya sebelum dia memperoleh akses kepada maklumat berkenaan.
Motif Montes menjalankan kegiatan pengintipan itu didorong ideologi semata-mata kerana tidak bersetuju dengan dasar luar AS.
Montes tidak menerima sebarang bayaran untuk membocorkan maklumat sulit, selain bayaran balik bagi beberapa perbelanjaan tertentu.
Montes turut mengakui mendedahkan identiti empat pegawai perisikan AS yang menjalankan operasi penyamaran di Cuba.
Montes mengaku bersalah pada 2002 sebelum dijatuhi hukuman penjara selama 25 tahun.
Montes dibebaskan pada 6 Januari 2023 selepas menjalani lebih 20 tahun hukuman penjara.










