Nusa Times BACA. FIKIR. BERSUARA.
OCT_Phytoglutide (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement
OCT_Dybesol (2) wellnes promo
OCT_Femiluv (1)
OCT_Aphrodax (1)
SponsoredAdvertisement

Konsep ‘double horror’ jadi taruhan filem Bisikan

Bisikan menggabungkan elemen mistik dan kengerian realiti kehidupan, selepas enam tahun berdepan cabaran menyiapkan penerbitannya.

W
Wawan Wartawan Senior
November 2, 2026 • 7:27 AM 4 min read • 15 views
Konsep ‘double horror’ jadi taruhan filem Bisikan

Poster filem Bisikan: Luka Yang Berbisik, yang dijadualkan menemui penonton pada 19 November 2026. Grafik D’Alpha Legacy Production.

KETAKUTAN boleh hadir dalam pelbagai bentuk, sama ada melalui perkara mistik mahupun pengalaman sebenar yang dilalui manusia. Sesuatu yang sukar dijelaskan mampu menimbulkan rasa gerun, manakala kejadian yang benar-benar berlaku pula boleh meninggalkan kesan mendalam.

Kedua-dua sisi ketakutan ini menjadi teras kepada filem Bisikan, terbitan D’Alpha Legacy Production yang diarahkan Opie Zami.

Menerusi konsep ‘double horror’, naskhah ini menggabungkan elemen mistik dengan ‘horror of truth’, sekali gus membawa penonton melihat ketakutan daripada sudut yang berbeza.

OCT_Aphrodax (2)Advertisement

Penerbitnya, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor berkata, konsep tersebut bukan sekadar bertujuan menakutkan penonton, sebaliknya mengajak mereka mempersoalkan perkara yang mencetuskan rasa takut.

“Adakah kita takut kerana sesuatu itu benar-benar wujud atau kerana kita tidak memahami apa yang sedang berlaku?

Babak kekeluargaan dalam filem Bisikan. Foto D’Alpha Legacy Production.
Babak kekeluargaan dalam filem Bisikan. Foto D’Alpha Legacy Production.

“Saya percaya ‘double horror’ adalah elemen yang belum pernah ditampilkan dalam mana-mana filem di Malaysia. Menerusi elemen itu, penonton akan dapat melihat dan merasai kesannya selepas 30 minit pertama filem ini,” kata Nur A’minahtul kepada Nusa Times.

Idea menghasilkan filem itu turut dipengaruhi pengalamannya sebagai bekas Timbalan Pendakwa Raya dan Majistret. Sepanjang kerjaya tersebut, dia berdepan pelbagai kisah kehidupan, termasuk kejadian menyedihkan serta jenayah yang sukar diterima akal.

“Ada kisah yang membuatkan saya tertanya-tanya bagaimana seseorang boleh melalui perkara sedemikian. Ada juga yang membuatkan saya mahu tahu lebih mendalam kenapa jenayah itu berlaku?

“Setiap manusia mempunyai luka dalam kehidupan masing-masing. Ada luka yang kita tunjukkan kepada orang lain dan ada yang kita simpan bertahun-tahun, sehingga mungkin tidak sedar ia masih mempengaruhi kehidupan kita," katanya.

Salah satu babak dalam filem Bisikan yang mengetengahkan konflik keluarga. Foto D’Alpha Legacy Production.
Salah satu babak dalam filem Bisikan yang mengetengahkan konflik keluarga. Foto D’Alpha Legacy Production.

Pengalaman tersebut menjadi antara inspirasi kepada ungkapan ‘Luka Yang Berbisik’ yang turut membentuk identiti filem berkenaan.

Menerusi pendekatan ini, Bisikan bukan sekadar mengetengahkan elemen seram, tetapi turut menyentuh sisi kehidupan dan luka emosi yang mungkin tidak terlihat oleh orang lain.

Filem ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Iman Zulkarnain, Azhan Rani, Vanida Imran, Fatin Afeefa, Altimet dan Puteri Rayyana.

Selain membuat penampilan khas, Altimet turut bergandingan dengan Mimi Fly menerusi lagu runut bunyi rasmi filem ini berjudul Hujan.

Kerja penggambaran Bisikan menggunakan latar hijau bagi penghasilan kesan visual. Foto D’Alpha Legacy Production.
Kerja penggambaran Bisikan menggunakan latar hijau bagi penghasilan kesan visual. Foto D’Alpha Legacy Production.

Enam tahun tertangguh

Proses menyiapkan Bisikan mengambil masa enam tahun, satu tempoh yang turut diwarnai pelbagai cabaran sepanjang pembikinannya. Dengan kos penerbitan RM1.5 juta, perjalanan filem ini turut terjejas akibat pandemik Covid-19.

Selepas penggambaran di sebuah rumah di Kuantan selesai pada 9 Ogos 2020, cabaran seterusnya muncul ketika proses pascaproduksi apabila aset imej janaan komputer (CGI) mengalami masalah.

Keadaan itu menyukarkan kerja menyiapkan filem berkenaan, apatah lagi kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan filem menggunakan elemen CGI, sedangkan dana untuk meneruskan kerja tersebut semakin berkurangan.

Watak keluarga dalam salah satu babak filem Bisikan. Foto D’Alpha Legacy Production.
Watak keluarga dalam salah satu babak filem Bisikan. Foto D’Alpha Legacy Production.

“Bayangkan, kerja penggambaran sudah selesai tetapi kita tidak mampu menyiapkannya untuk tayangan. Belum lagi insiden penipuan wang yang berlaku,” luahnya kesal.

Ketika produksi hampir terhenti, pihaknya menerima dana pascapenerbitan RM300,000 daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Dalam tempoh sukar itu, Nur A’minahtul yang juga merupakan peguam dan pempengaruh terkenal itu mengakui pernah menangis memikirkan jalan penyelesaiannya. Ketika berada di Tanah Suci Mekah pada Mac 2025, dia turut menitipkan doa agar segala urusannya dipermudahkan.

“Saya berdoa depan Kaabah dan minta ALLAH SWT jauhkan saya daripada semua orang yang nak ambil kesempatan atas kesusahan dalam menyiapkan filem Bisikan, serta temukan saya dengan orang-orang baik yang dapat bersama saya dalam perjuangan ini. Alhamdulillah, Allah tunaikan,” katanya.

Menurut Nur A’minahtul, bagaimanapun, kelewatan menyiapkan filem itu turut membawa kepada tindakan saman daripada pelabur. Kes berkenaan hanya selesai pada Jun 2026, namun penerbit masih perlu menanggung bayaran walaupun kelewatan itu bukan berpunca daripadanya.

Nur A’minahtul sebelum ini turut menerbitkan filem thriller Eva, Supertele Kelaster dan Korsakoff untuk Astro First, serta Frontliner bagi Netflix.

Bisikan bakal ditayangkan di 70 pawagam seluruh Malaysia bermula 19 November ini.

OCT_Phytoglutide (3)Advertisement